
VOLVO XC60 BLACK EDITION, HITAM MENAWAN DALAM WARNA ONYX BLACK
Walaupun Volvo Car menumpukan perhatian pada kenderaan elektrik (EV), model yang menggunakan bahan api petrol masih lagi menguasai angka jualan.
Di antara model yang menawan ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) XC60 generasi kedua. Dikeluarkan sejak 2017 dan seperti generasi pertama, XC60 dipasang dan dijual di negara kita.
Di laman sesawang, Volvo Malaysia menawarkan dua pilihan enjin iaitu 2.0 liter turbo mild hybrid (B5 AWD) dan 2.0 liter turbo hibrid plug-in (Recharge/T8 AWD).
Dari segi reka bentuk, XC60 menawan dengan permukaan yang elegan dan tidak berkotak atau bersegi seperti model lain.
Untuk pasaran United Kingdom (UK), Volvo memperkenalkan XC60 Black Edition yang tampil bergaya dan misteri dengan warna Onyx Black.
Perkakasan lain juga dihitamkan seperti logo Volvo, nama model dan identiti enjin. Rim aloi 21 inci direka cantik dan membangkitkan aura muda.
Rim itu menunjukkan Volvo tidak semestinya tampil serius dan asyik bermain dengan garis lurus sahaja.
Tema gelap diteruskan pada bahagian dalam dengan pelapik bumbung warna arang dan balutan kulit dan fabrik pada kerusi depan sport atau kulit Nappa penuh untuk satu lagi pilihan kerusi (comfort).
Kerusi comfort mempunyai fungsi pengudaraan, urutan belakang dan larasan elektrik untuk bahagian tepi. Kedua-dua pilihan kerusi juga di dalam warna arang.
Pelanggan yang berminat dengan edisi hitam ini ditawarkan dengan dua pilihan iaitu iaitu Plus dan Ultimate.
XC60 Plus Black Edition dilengkapi sistem kemasukan tanpa kunci dan penghidupan enjin, operasi pintu kargo bebas tangan, stereng dengan fungsi pemanas dan pelarasan lampu suasana.
Turut dilengkapi sistem penulenan udara dengan penapisan zarah, penderia parkir depan dan belakang dan sistem kamera pandangan sekeliling.
XC60 Ultimate Black Edition lebih istimewa dan dilengkapi sistem suspensi udara elektronik dengan peredam suai, papar pandu dan kerusi penumpang larasan elektrik.
Turut dilengkapi lampu pembelokan aktif dengan teknologi bayangan suai dan sistem bunyi Bowers & Wilkins 1,100W.
Untuk rangkaian kuasa ada tiga pilihan iaitu B5 mild hybrid berkuasa 250 kuasa kuda (hp), T6 dan T8 hibrid plug-in.
T6 menggabungkan enjin petrol 253 hp dengan motor elektrik 145 hp yang turut dikongsi T8 kecuali enjin petrol berkuasa 310 hp.
Bersama bateri 18.8 kilowatt-jam (kWj), model hibrid plug-in boleh dipandu sehingga 75.6 kilometer (km) berbekalkan kuasa bateri.
Kesemua jenis enjin dipadan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan dan pacuan semua roda.
Satu yang menarik ialah pelanggan yang membuat tempahan sebelum 27 November diberi harga istimewa.
Pelanggan menikmati penjimatan 1,750 pound (RM10,059) bagi model Plus dan 1,000 pound (RM5,747) untuk Ultimate. Penghantaran dijangka pada awal 2024.
Harga dan pilihan sebelum 27 November 2023:
- XC60 B5 AWD Plus Black Edition – £52,285 (RM300,559)
- XC60 B5 AWD Ultimate Black Edition – £61,565 (RM353,945)
- XC60 T6 AWD Plus Black Edition – £60,055 (RM345,264)
- XC60 T8 AWD Ultimate Black Edition – £68,385 (RM393,154)
BACA: VOLVO EX30, SUV VOLVO PALING KECIL DAN TANGKAS, 0-100 KM/J DALAM 3.6 SAAT!
BACA: INI KEMEWAHAN DALAMAN VOLVO EX90 EXCELLENCE, DUA KERUSI SAHAJA DI BELAKANG!
BACA: APAKAH MAKSUD HURUF XC PADA MODEL SUV VOLVO?
BACA: VOLVO C40, SUV KOMPAK ELEKTRIK DENGAN REKAAN COUPE. 450KM UNTUK SEKALI CAJ
BACA: APA YANG PERLU DISERVIS KALAU ANDA MEMILIKI VOLVO XC40 RECHARGE?