Pandu Uji

VOLVO XC90 RECHARGE T8 AWD ULTIMATE, SUV MEWAH TERBAIK?

Tahukah anda bahawa Volvo memiliki fasiliti pemasangan di Shah Alam yang telah memulakan operasi semenjak tahun 1967. Pada mulanya penulis selalu terfikir bagaimana kilang Volvo ini masih boleh beroperasi sehingga ke hari ini sedangkan kuantiti pengeluaran dan penjualan kenderaan mewah ini bukannya sebanyak kereta Perodua ataupun Proton.

Namun semakan mendapati, hasil pengeluaran kilang yang terletak di Shah Alam ini bukan sahaja dijual di Malaysia, sebaliknya ia akan dijual di Indonesia, Filipina, Taiwan, Thailand, dan juga Vietnam. Malah produk terbaru Volvo yang menggunakan platform SPA seperti S60, V60, XC60, S90 dan juga XC90 turut dihasilkan di sini.

Volvo XC90 turut dihasilkan di sini merupakan generasi kedua yang dilancarkan pada tahun 2015 selepas generasi pertama dilancarkan pada tahun 2002. Volvo tidak membiarkan sahaja produk mereka ketinggalan, namun sentiasa mengemaskinikan kenderaan mereka mengikut perkembangan zaman

Kami senaraikan 10 perkara menarik yang anda dapat selepas membayar RM 435,000 bagi sebuah Volvo XC90:

1. Rekaan yang kekal menarik walaupun Volvo XC90 sudah berusia 8 tahun dengan tema “timeless design” dimana rekaan ini dikemaskan sedikit demi sedikit setiap tahun. Untuk model XC90 2023 ini, ia adalah model pertama yang menggunakan logo Volvo yang baru yang lebih ringkas dan bergaya

2. Lampu depan dengan teknologi adaptif serta lampu LED DRL “Thor” yang cukup bergaya. Lampu ini juga ditawarkan dengan teknologi adaptif dimana sudut suluhan lampu akan beroperasi mengikut input pada roda stering.

Lampu adaptif ini membenarkan lampu depan beroperasi dengan menggunakan lampu tinggi tanpa menyebabkan pemandu depan menjadi silau dengan menawarkan penghasilan bayang-bayang pada pemandu depan.

3. Trenkuasa PHEV T8 Twin Engine yang menggabungkan enjin 4 silinder 2000cc dengan turbo dan supercaj serta trenkuasa hibrid pada roda belakang. Enjin ini akan menjana 315 kuasa kuda 400 Nm tork serta dipadankan dengan transmisi 8 kelajuan yang memacu roda depan.

Trenkuasa hibrid pula akan menghasilkan kuasa daripada bateri sebesar 18.8kWh yang akan menjana satu motor elektrik pada roda belakang. Motor ini berupaya menghamburkan 143 kuasa kuda. Secara keseluruhan, sistem hibrid ini menawarkan sekitar 455 kuasa kuda dan 709Nm tork.

XC90 juga boleh dipandu dalam mode EV sepenuhnya sehingga 77km serta ditemani dengan sistem pengecasan yang lebih besar iaitu 6.4kW. Sistem pengecasan Type 2 ini membolehkan bateri 18.8kWh dicaj penuh dalam masa 3 jam sahaja.

4. Ruang kargo di bahagian belakang menawarkan ruang sebesar 356 liter menerusi power tailgate yang boleh dibuka dengan menggunakan sensor kaki. Ruang ini boleh dibesarkan menjadi 640 liter sekiranya kusyen di barisan ketiga dilipat dan digandakan menjadi 1856 liter sekiranya semua kusyen barisan kedua dilipat.

5. Bagi memudahkan penumpang memasuki ruang kabin atau meletakkan barang di bahagian belakang, Volvo XC90 diberikan Air Suspension yang membolehkan SUV ini direndahkan lagi. Bagi meredah laluan yang sukar, XC90 boleh ditinggikan dengan sistem yang sama.

Suspension belakang menggunakan sistem multilink manakala suspension depan pula menggunakan double wishbone. Semua sistem ini menggunakan air suspension lengkap dengan mode offroad yang akan menala sistem suspensi, sistem ESC, dan stering bagi membolehkan XC90 melalui jalan tidak berturap dengan senang

6. Selain mode offroad, Volvo XC90 juga turut ditawarkan dengan mode pemanduan hibrid, elektrik sepenuhnya dengan mode Pure, Power bagi kuasa maksimum dan juga constant AWD. Walaupun anda boleh memerah kuasa maksimum dari trenkuasa ini, halaju Volvo XC90 dihadkan kepada 180km/jam sahaja.

7. Ruang dalaman menawarkan pengalaman mewah bagaikan anda sedang melepak di ruang istirehat hotel 7 bintang. Tombol gear dihasilkan daripada kristal Orrefors yang bercahaya pada waktu malam manakala butang poenghidup pula dihasilkan bagaikan batu permata

Gabungan kulit yang lembut, penggunaan unsur kayu pada papan pemuka, serta kemasan aluminium menjadikan ruang depan nampak bergaya. Apatah lagi dengan kehadiran pembesar suara Bowers & Wilkin yang tersergam megah di tengah konsol papan pemuka

8. Pembesar suara Bowers & Wilkins ini menawakan sehingga 19 speaker yang menghasilkan sekitar 1400 watt. Anda boleh mendengar pelbagai tetapan mode muzik samaada bunyi seperti bilik, studio rakaman ataupun bunyi seperti berada di pentas konsert.

9. Penyaman udara menawarkan 3 ruang penyejukan yang berbeza serta semua barisan tempat duduk akan menerima corong penyaman udara tersendiri termasuklah tempat duduk di barisan ke 3. Tempat duduk barisan kedua akan menerima corong penyaman udara di tiang B manakala tempat duduk barisan ke 3 akan menerima corong penyaman udara di tiang C

Dari segi pemanduan, pecutan yang ditawarkan oleh Volvo XC90 sangat mengujakan iaitu sekitar 6.8 saat masa yang diambil dari 0-100km/jam. Anda mungkin memerlukan masa sekitar 2 ke 3 saat sahaja bagi memecut dari 110km/jam ke 160km/jam ketika memandu di lebuhraya.

Tork yang dihasilkan cukup bertenaga bagaikan memandu sebuah supercar namun sayangnya halaju maksima ditetapkan pada 180km/jam atas faktor keselamatan. Secara teori penggunaan petrol adalah sekitar 1.8 liter bagi setiap 100km dengan syarat bateri telahpun dicaj penuh.

Bacaan sebenar pula menunjukkan penggunaan petrol adalah sekitar 12-13km per liter dengan menggunakan mode hibrid dan bateri dicaj penuh. Adalah sangat sukar untuk menahan diri daripada terus menekan pedal minyak dan menerima henjutan kuasa daripada Volvo XC90

Tapi selepas menikmati kuasa maksima XC90 di jalan lurus, anda mungkin akan terasa gayat dengan kawalan cesi ketika melalui selekoh. Pada pandangan penulis, tetapan spring dan penyerap hentak yang ada pada Volvo XC90 adalah terlalu lembut menjadikan pesaingnya daripada BMW lebih berdaya saing di laluan berliku

Sepatutnya dalam mode Power, mungkin Volvo boleh menetapkan agar tetapan stering menjadi sedikit ketat agar kawalan cesi lebih kemas di selekoh. Rasanya keselesaan adalah DNA Volvo yang sukar untuk dipisahkan dengan jenama ini.

Tapi jika anda melalui jalan berselekoh pada halaju normal, maka berat Volvo XC90 2350kg dan panjangnya yang menghampiri 5 meter tidak menjadi isu besar. Sistem brek yang ditawarkan juga terasa padat dan meyakinkan biarpun sistem brek regeneratif akan masuk beroperasi bagi mengecaj bateri

Pendek kata, jika anda memandu secara berhemah, melayan kualiti audio dari pembesar suara Bowers & Wilkin dan merasai pengalaman serta keselesaan Volvo XC90, anda akan menghargai kualiti dan keselesaan XC90 bak sebuah kapal layar yang mewah

Volvo XC90 juga ditawarkan dengan pelbagai sistem keselamatan terkini seperti Run Offroad Road Protection Package, iaitu sistem yang akan melindungi kecederaan tulang belakang sekiranya XC90 terbabas masuk ke dalam gaung dengan memperkemaskan kedudukan penumpang melalui tali pinggang keledar.

Jika minda anda sudah terlalu bosan dengan jentera buatan Jerman, mungkin anda perlu menilai semula pilihan yang ada dan dan mendapatkan tawaran yang lebih mewah, lebih selesa dengan pakej yang lebih menarik pada Volvo XC90.

Google ads
Back to top button