Pandu Uji

VOLVO XC60, SUV KELUARGA DENGAN 314HP DAN 709NM TORK

Tahukah anda bahawa sedan Volvo S60, wagon Volvo V60 dan juga SUV Volvo XC60 sebenarnya berkongsi platform yang sama iaitu platform Scalable Product Architecture. Ia merupakan satu strategi yang digunakan oleh Volvo bagi membangunkan pelbagai produk dengan hanya menggunakan satu platform sahaja

Volvo XC60 generasi pertama dihasilkan pada tahun 2007 dengan menggunakan Volvo P3 Platform, dimana platform ini sebenarnya dikongsi dengan Land Rover Freelander 2007. Pada ketika itu jenama Volvo dan Land Rover sebenarnya berada di bawah jagaan Ford.

Walaupun berkongsi platform yang sama, rekaan luar CX60 dan Freelander adalah tidak sama namun keupayaan dan pembangunan teknologi untuk pacuan semua roda dibangunkan oleh Land Rover. Model generasi kedua Volvo XC60 dihasilkan pada tahun 2017 ketika Volvo berada dibawah naungan Geely

Walaupun sudah berada di pasaran selama 6 tahun, namun XC60 merupakan satu model yang sentiasa dikemaskini bagi menjadikannya sentiasa berupaya untuk bersaing dengan model lain yang berada di pasaran.

Dari segi rekaan, Volvo XC60 merupakan salah satu contoh bagaimana sebuah SUV boleh direka dengan mengaplikasikan konsep “timeless design”. Rekaan depan, sisi dan belakang dibuat secara minima dan “bersih” bagi menjadikannya sentiasa relevan biarpun untuk 20 tahun akan datang.

Untuk unit yang dipandu uji oleh kami pada kali ini, Volvo XC60 ini datang dengan trim T8 iaitu varian plug in hybrid yang ditawarkan oleh Volvo dengan harga RM 357,888. Rekaan kali ini menerima kemasan jeriji depan berwarna hitam dengan logo Iron Volvo bersilang di bahagian tengah.

Lampu depan mengekalkan lampu adaptif LED lengkap dengan lampu DRL tukul Thor yang sangat sinonim dengan jenama Volvo. Soket pengecas pula telah dikemaskini dengan soket 6.4kW bagi mengecaj bateri PHEV ini dalam masa 3 jam sahaja sehingga penuh.

Dari segi saiz Volvo XC60 T8 datang dengan panjang 4688mm serta lebar 1902mm serta boleh dikategorikan sebagai SUV mewah saiz sederhana. Untuk kemasan belakang, hanya logo T8 sahaja disemat pada pintu belakang bagi membezakannya dengan varian hibrid 48 volt B5

Volvo XC60 juga datang dengan jarak antara roda 2865mm, cukup luas untuk sebuah SUV 5 tempat duduk. Tema mewah dan klasik juga turut diketengahkan oleh Volvo dimana pada pendapat penulis ia perlu menjadi penanda aras kepada pengeluar lain bagaimana rekaan dalaman sebuah SUV mewah patut dihasilkan.

Penggunaan aloi aluminium, balutan kulit pada papan pemuka, tombol gear yang dihasilkan daripada kristal Orrefors yang bercahaya pada waktu malam serta butang penghidup yang direka bagaikan berlian menunjukkan bagaimana telitinya Volvo mencantumkan semua elemen ini dengan harmoni.

Tapi rekaan yang paling disukai oleh penulis adalah 15 pembesar suara Bowers & Wilkins lengkap dengan air subwoofer yang menjana 1400watt kuasa sudah cukup untuk menukar kabin Volvo XC60 menjadi pentas bergerak. Bunyi yang dijana adalah sungguh realistik pada halwa telinga penulis

Pintu ruang kargo belakang menawarkan ciri powered tailgate bagi menawarkan ruang kargo sebesar 468 liter. Dan sekiranya ia masih tidak mencukupi, anda boleh melipat kusyen barisan kedua bagi memberikan ruang sebesar 1400 liter.

Bagi varian T8 PHEV Twin Engine, Volvo XC60 menawarkan enjin 2000cc 4 silinder lengkap dengan turbo dan juga supercaj bagi menjana kuasa sehingga 314 kuasa kuda dan 400Nm tork. Motor elektrik yang dipasang pada gandar belakang pula menawarkan sehingga 86 kuasa kuda dan 240Nm tork.

Gabungan kuasa ini menghasilkan sekitar 455 kuasa kuda dan 709Nm tork. Motor elektrik ini menerima kuasa daripada bateri 18.8kWh yang boleh dicaj secara brek regeneratif ataupun boleh dicaj di rumah, membolehkan XC60 dipandu sejauh 80km dengan mode elektrik sepenuhnya.

Dari segi pecutan, 709Nm tork tadi sudah cukup untuk memacu XC60 dari 0-100km/jam dalam masa 4.8 saat dengan halaju tertinggi dihadkan pada 180km/jam atas faktor keselamatan. Di atas kertas, penggunaan bahan api adalah sekitar 1.6 liter bagi setiap 100km sekiranya bateri dicas penuh.

Dari segi keselesaan, Volvo XC60 cukup senyap jika beroperasi dengan mode elektrik dan disokong dengan penggunaan tayar Pirelli PZero Elect. Sokongan kusyen adalah bagus, menawarkan sokongan pada behagian belakang, bolster dan juga di bahagian bawah peha.

Dari segi pengendalian, Volvo XC60 direka dengan mengetengahkan keselesaan berbanding dengan pengendalian. Jika anda memandu laju Volvo XC60 di selekoh, anda cuma berharap ia diberikan sistem pengendalian yang lebih jitu dan stering yang lebih berkomunikasi dengan pemandu.

Dari segi prestasi brek, boleh dikatakan XC60 membrek dengan lebih berkesan berbanding dengan V60 biarpun semua kedua dua model dihasilkan dengan platform yang sama. Jika anda bercadang untuk memandu dengan lebih efisyen, anda boleh pilih mode pemanduan Single Pedal Drive atau B Mode.

Dalam aspek keselamatan, Volvo memang terkedepan berbanding dengan pesaingnya yang lain. Sebagai contoh sistem brek kecemasan automatik boleh mengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan besar seperti rusa Moose. Sistem AEB juga diberikan ciri Stering Support and Braking.

Sistem Pilot Assist Level 2 pula datang dengan ciri Lane Keeping Assist, Sistem Amaran Titik Buta dengan bantuan stering, kamera 360 darjah resolusi tinggi, run off road mitigation, amaran perlanggaran depan dan belakang serta sistem Rear Cross Traffic Aler dengan brek automatik

Namun Volvo XC60 ini tetap datang dengan beberapa kelemahan yang anda kena terima sebelum memutuskan XC60 ini sesuai untuk anda. Pertama perehat kepala tidak boleh diubahsuai dan telah ditetapkan pada satu kedudukan sahaja

Terdapat beberapa mode pemanduan yang ditawarkan namun anda kena mencarinya dalam skrin sesentuh yang berada di depan kerana semua mode pemanduan tertanam dalam butang Setting. Penutup enjin ataupun hud depan akan terbuka dengan tinggi dan susah untuk ditutup semula apabila dibuka.

Volvo XC60 T8 ditawarkan 8 tahun jaminan dan jarak pemanduan sehingga 160,000km untuk komponen plug in hybrid merupakan pilihan yang tepat jika anda memerlukan sebuah SUV mewah, berkuasa, jimat bahan api dan boleh digunakan sebagai kereta elektrik sepenuhnya

Google ads
"
"
Back to top button