VOLVO EX30 RASMI DILANCARKAN – TIGA VARIAN, JARAK GERAK 476KM, HARGA BERMULA RM188K
Volvo Cars Malaysia (VCM) hari ini secara rasmi melancarkan SUV elektrik sepenuhnya, Volvo EX30 untuk pasaran tempatan.
Volvo EX30 ditawarkan dalam tiga varian untuk pasaran Malaysia, iaitu Plus, Ultra dan Ultra Twin Performance.
Meskipun kecil, EX30 mempunyai dimensi panjang 4,223mm, lebar 1,837mm, dan tinggi 1,555mm. Ini menjadikannya pilihan yang sesuai untuk penggunaan bandar.
Ruang but belakangnya menawarkan kapasiti sebanyak 318 liter. Apabila sandaran tempat duduk dilipat, kapasiti ini meningkat kepada 904 liter — selain itu, terdapat juga ruang but di bahagian hadapan dengan keluasan tujuh liter.
Dari segi penggayaan, ia tampil dengan gril tertutup, lampu digital hadapan bertema penukul Thor, rim aloi Diamond Cut 19-inci, sunroof panoramic, sistem audio Harman Kardon, kerusi hadapan berkuasa, serta cermin tanpa bingkai dengan fungsi auto-gelap serta pencahayaan ambien.
Di dalam kabin, EX30 menawarkan rekabentuk dalaman yang minimalis serta dilengkapi skrin sentuh tengah 12.3-inci, sistem infotainment dengan ketersambungan Android Auto/Apple Carplay tanpa wayar serta kawalan iklim zon tunggal.
Ketiga-tiga varian EX30 didatangkan dengan pek bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapisiti 69kWj.
Beralih pada kuasa, varian Plus dan Ultra berupaya menghamburkan kuasa 272PS dan tork 343Nm, daya pecutan 0-100 km/j dalam 5.3 saat, memberikan jarak gerak 476km.
Sementara, varian Ultra Twin Motor Performance menghasilkan 428PS dan 543Nm dengan jarak gerak sejauh 450km.
Kadar pengecasan AC maksimum ialah 11kW, mengisi semula bateri sepenuhnya selama 7.5 jam manakala pengecasan pantas DC pada kadar 153kW membolehkan pengecasan daripada 10% hingga 80% hanya menelan masa 28 minit.
Volvo EX30 merupakan kenderaan dengan pecutan terpantas dalam sejarah Volvo, dilengkapi teknologi terkini seperti sistem bantuan parkir baharu, antara muka intuitif dengan Google Built-in, serta sistem Pilot Assist yang dinaik taraf.
Tambahan pula, ciri keselamatan 360° yang dibantu oleh kamera, Park Pilot Assist, sensor, dan radar menjadikan pemanduan lebih selamat.
Beralih pada harga, Volvo EX30 Plus ditawarkan pada harga RM188,888, manakala EX30 Ultra pada harga RM208,888. Varian tertinggi, EX30 Ultra Twin Performance, berharga RM228,888.
Volvo EX30 juga disokong dengan pelan servis dan jaminan yang komprehensif. Setiap pembelian disertakan dengan jaminan kenderaan 5 tahun tanpa had perbatuan, serta jaminan bateri berkuasa tinggi selama 8 tahun.
Pelanggan turut menikmati servis percuma selama 5 tahun, serta bantuan tepi jalan dan khidmat tunda percuma ke pusat servis yang sah.
Untuk pengalaman digital, Volvo EX30 menawarkan perkhidmatan Google dengan kesambungan data percuma selama 5 tahun.
GALERI:
- BACA: PENCURI BODOH MERAYU PEMILIK SELEPAS TERPERANGKAP DALAM KERETA HENDAK DICURI – POPULARITI PERCUMA
- BACA: RASMI: HONDA X-ADV 750 2025 DIPERKENAL – KINI DENGAN CRUISE CONTROL, REKA BENTUK BAHARU
- BACA: TESLA TERBAKAR SEMASA DICAS – BUKAN BERPUNCA DARIPADA BATERI
- BACA: KIA EV9 – SUV RAKSASA EV 6 TEMPAT DUDUK.