
VOLVO EX30 CKD KINI DIBUKA UNTUK TEMPAHAN – DUA VARIAN, HARGA BERMULA RM208K
Volvo Car Malaysia mengumumkan bahawa tempahan kini dibuka untuk Volvo EX30 pemasangan tempatan (CKD), susulan kejayaan unit import sepenuhnya (CBU) yang habis terjual selepas pelancarannya pada September 2024.
EX30 Model Tahun 2025 (MY25) akan ditawarkan dalam dua varian:
- Ultra – Harga bermula RM208,888.
- Ultra Twin Performance – Harga bermula RM228,888.
Untuk pasaran Malaysia, EX30 CKD ini hadir dengan tiga pilihan warna premium:
- Cloud Blue,
- Vapour Grey,
- Crystal White.
EX30 mempunyai dimensi panjang 4,223mm, lebar 1,837mm, dan tinggi 1,555mm. Ini menjadikannya pilihan yang sesuai untuk penggunaan bandar.

Ruang but belakangnya menawarkan kapasiti sebanyak 318 liter. Apabila sandaran tempat duduk dilipat, kapasiti ini meningkat kepada 904 liter — selain itu, terdapat juga ruang but di bahagian hadapan dengan keluasan tujuh liter.
Dari segi penggayaan, ia tampil dengan gril tertutup, lampu digital hadapan bertema penukul Thor, rim aloi Diamond Cut 19-inci, sunroof panoramic, sistem audio Harman Kardon, kerusi hadapan berkuasa, serta cermin tanpa bingkai dengan fungsi auto-gelap serta pencahayaan ambien.
Di dalam kabin, EX30 menawarkan rekabentuk dalaman yang minimalis serta dilengkapi skrin sentuh tengah 12.3-inci, sistem infotainment dengan ketersambungan Android Auto/Apple Carplay tanpa wayar serta kawalan iklim zon tunggal.

Kedua-dua varian EX30 didatangkan dengan pek bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapisiti 69kWj.
Beralih pada kuasa, varian Ultra berupaya menghamburkan kuasa 272PS dan tork 343Nm, daya pecutan 0-100 km/j dalam 5.3 saat, memberikan jarak gerak 476km.
Sementara, varian Ultra Twin Motor Performance menghasilkan 428PS dan 543Nm dengan jarak gerak sejauh 450km.
Kadar pengecasan AC maksimum ialah 11kW, mengisi semula bateri sepenuhnya selama 7.5 jam manakala pengecasan pantas DC pada kadar 153kW membolehkan pengecasan daripada 10% hingga 80% hanya menelan masa 28 minit.
Volvo EX30 merupakan kenderaan dengan pecutan terpantas dalam sejarah Volvo, dilengkapi teknologi terkini seperti sistem bantuan parkir baharu, antara muka intuitif dengan Google Built-in, serta sistem Pilot Assist yang dinaik taraf.
Tambahan pula, ciri keselamatan 360° yang dibantu oleh kamera, Park Pilot Assist, sensor, dan radar menjadikan pemanduan lebih selamat.
Penghantaran Bermula Januari 2025
Kumpulan pertama Volvo EX30 CKD dijadualkan untuk penghantaran pada minggu kedua Januari 2025.
Untuk maklumat lanjut atau tempahan, pelanggan boleh melayari laman web rasmi Volvo Car Malaysia atau mengunjungi bilik pameran Volvo terdekat.





