Buletin

PEUGEOT LANDTREK 2025 – KEMAS KINI KECIL DAN JUGA ENJIN BAHARU

Peugeot Landtrek ini merupakan antara model cari makan dan penting buat mereka untuk pasaran Afrika, Amerika Selatan dan juga Timur Tengah. Setelah dilancarkan secara global pada tahun 2020, kini ketikanya model pikap Peugeot Landtrek ini diberikan sedikit kemas kini terkini untuk memastikan ianya kelihatan segar dalam pasaran untuk bersaing dalam segmennya.

Peugeot Landtrek terus mengukuhkan dirinya dalam segmen pikap satu tan, yang mewakili 2.5 juta jualan tahunan di seluruh dunia. Peugeot Landtrek ini telah dijual di sekitar 40 negara, kebanyakannya di Afrika, Timur Tengah dan Amerika Selatan dan tidak lupa juga ianya turut dijual di negara kita.

Dan Peugeot Landtrek versi 2025 ini adalah jawapan kepada keperluan dan kehendak pasaran dengan opsyen tiga konfigurasi meliputi casis kabin, kabin tunggal atau pun kabin berkembar dan terdapat varian untuk kegunaan professional atau pun pelbagai guna.

Sekali tengok macam tak ada sangat perubahan untuk Peugeot Landtrek versi 2025 ini. Benar, kemas kini kosmetik yang diberikan cukup kecil sahaja sebenarnya terutamanya membabitkan rekaan gril yang direka semula dengan penggunaan warna hitam untuk tampil lebih elegan. Juga terdapat adalah rekaan logo Peugeot terkini yang lebih moden.

Pada bahagian bawah bampar juga telah menerima sedikit perubahan kecil pada skid plate. Manakala pada bahagian belakang menampilkan rekaan bampar yang baharu dengan kemasan seakan satin berbanding penggunaan krom pada model sebelumnya.

Pada bahagian tengah, tertera PEUGEOT yang disusun besar dengan perkataan Landrek di bahagian bawah.

Manakala untuk trenkuasa, Peugeot Landtrek ini turut menerima enjin baharu untuk versi 2025 ini. Enjin 2.2 liter Multijet empat silinder turbodiesel kini ditawarkan dengan kuasa sehingga 197 HP dan 450 Nm. Ianya dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan atau pun lapan kelajuan automatik serta dilengkapi dengan fungsi 4WD.

Untuk versi terkini, keupayaan mengangkut beban sehingga 1,400 kg serta mampu menarik beban sehingga 3,500 kg.

Bahagian kabin turut menerima perubahan teknologi baharu dengan kluster instrumen digital bersaiz 7 inci serta paparan infohiburan bersaiz 10 inci. Stereng dengan logo baharu Peugeot serta ADAS baharu yang lebih canggih turut ditawarkan untuk varian baharu yang menggunakan turbodiesel.

BACA : PEUGEOT LANDTREK TIBA DI PASARAN MALAYSIA ENJIN 1.9D ALLURE HARGA BERMULA RM120K

BACA : PEUGEOT HOGGAR – MODEL UTILITI SILAM KELUARAN DARI BRAZIL

Google ads

B K

Back to top button