Buletin

SUV EV VOLVO EX30 DILANCARKAN DI MALAYSIA TAK LAMA LAGI – TAWAR JARAK GERAK SEHINGGA 480KM

Volvo Cars Malaysia (VCM) hari ini secara rasmi mengumumkan SUV elektrik sepenuhnya, Volvo EX30 akan dilancarkan tidak lama lagi di Malaysia.

Volvo EX30 merupakan kenderaan dengan pecutan terpantas dalam sejarah Volvo, dilengkapi teknologi terkini seperti sistem bantuan parkir baharu, antara muka intuitif dengan Google Built-in, serta sistem Pilot Assist yang dinaik taraf.

Tambahan pula, ciri keselamatan 360° yang dibantu oleh kamera, sensor, dan radar menjadikan pemanduan lebih selamat.

SUV ini direka untuk memenuhi keperluan pemanduan bandar serta lengkap dengan ruang simpanan pintar.

Sebagai kenderaan elektrik premium, Volvo EX30 meminimumkan jejak karbonnya dengan penggunaan bahan kitar semula dan mampan, mengurangkan emisi CO2 sebanyak 75 peratus berbanding model elektrik sedia ada Volvo.

Volvo EX30 sebelum ini telah dilancarkan di Thailand, ditawarkan dalam tiga varian di Thailand iaitu EX30 Core Single Motor Extended Range, Ultra Single Motor Extended Range serta Ultra Twin Motor Performance.

Meskipun kecil, EX30 mempunyai dimensi panjang 4,223mm, lebar 1,837mm, dan tinggi 1,555mm. Ini menjadikannya pilihan yang sesuai untuk penggunaan bandar.

EX30 menawarkan rekabentuk dalaman yang minimalis serta dilengkapi skrin sentuh tengah 12.3-inci, sistem infotainment dengan ketersambungan Android Auto/Apple Carplay tanpa wayar serta kawalan iklim zon tunggal.

Ketiga-tiga varian EX30 didatangkan dengan pek bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapisiti 69kWj.

Kadar pengecasan AC maksimum ialah 11kW, mengisi semula bateri sepenuhnya selama 7.5 jam manakala pengecasan pantas DC pada kadar 153kW membolehkan pengecasan daripada 10% hingga 80% hanya menelan masa 26.5 minit.

Beralih pada kuasa, varian Single Motor Extended Range dan Ultra Single Motor Extended Range berupaya menghamburkan kuasa 272PS dan tork 343Nm, daya pecutan 0-100 km/j dalam 5.3 saat, memberikan jarak gerak 480km.

Sementara, varian Ultra Twin Motor Performance menghasilkan 428PS dan 543Nm dengan jarak gerak sejauh 460km.

Bagi pasaran Thailand, Volvo EX30 ditawarkan pada harga bermula RM206,132.

Pelanggan boleh mendaftarkan minat mereka untuk menjadi yang pertama di https://bit.ly/VolvoMY-EX30KMU.

Untuk maklumat lanjut mengenai Volvo EX30, layari www.volvocars.com/my

Google ads
Back to top button