Artikel Pilihan

REEV VS PHEV. KENAPA DUA SISTEM NI TAK SAMA

Dalam dunia kenderaan elektrifikasi hari ini, semakin banyak istilah digunakan oleh pengeluar bagi menggambarkan trenkuasa yang digunakan seperti HEV, PHEV, BEV dan REEV. Berbeza dengan 15 tahun lepas dimana pengguna hanya diberikan pilihan manual, automatik ataupun hibrid, trenkuasa kenderaan moden menjadi semakin rumit.

Sebagai contoh REEV (range extender electric vehicle) dan PHEV (plug in hybrid electric vehicle) mungkin kelihatan hampir sama kerana sistem PHEV dan REEVmempunyai bateri, motor elektrik serta enjin petrol.

Namun dari sudut seni bina sistem pacuan dan susunan komponen terdapat perbezaan yang cukup besar antara kedua-duanya. Perbezaan paling mudah untuk difahami ialah komponen manakah yang memacu roda, motor elektrik ataupun enjin?

Bagi PHEV atau Plug-in Hybrid Electric Vehicle, kedua-dua enjin petrol dan motor elektrik boleh memainkan peranan dalam memacu kenderaan, bergantung kepada reka bentuk sistem yang digunakan oleh pengeluar.

Sebaliknya dalam REEV atau Range Extended Electric Vehiclemotor elektrik menjadi satu-satunya sumber kuasa yang memacu roda, manakala enjin petrol hanya bertindak sebagai penjana elektrik apabila diperlukan.

PHEV pada asasnya merupakan evolusi daripada sistem hybrid biasa. Ia mempunyai enjin pembakaran dalaman, motor elektrik, bateri berkapasiti lebih besar berbanding HEV biasa dan tangki bahan api. Perbezaan utama berbanding HEV biasa ialah bateri PHEV boleh dicas daripada sumber elektrik luaran.

Apabila bateri mempunyai tenaga yang mencukupi, sesebuah PHEV boleh bergerak menggunakan kuasa elektrik sahaja. Namun apabila keadaan memerlukan, sistem PHEV boleh menghidupkan enjin petrol yang digunakan memacu roda secara mekanikal bersama-sama motor elektrik atau mengecaj bateri

Jadi sistem PHEV sebenarnya mempunyai lebih banyak pilihan dalam pengurusan tenaga. Ia boleh beroperasi seperti EV untuk perjalanan pendek, tetapi masih mempunyai enjin petrol untuk perjalanan jauh.

Bagi pengguna yang boleh mengecas kereta di rumah dan kebanyakannya melakukan perjalanan harian yang pendek, PHEV berpotensi memberikan penggunaan petrol yang sangat rendah dengan berfungsi sebagai EV

Contoh PHEV yang terdapat di Malaysia ialah Chery Tiggo 8 PHEV, yang menggunakan enjin 1.5 liter TGDi, motor elektrik dan bateri 18.3 kWh bersama sistem Dedicated Hybrid Transmission (DHT). Model ini mempunyai jarak pemanduan elektrik sehingga 90 km berdasarkan angka yang diberikan pengeluar.

Pada masa sama sistem PHEV yang digunakan oleh Chery Tiggo 8 PHEV juga membenarkan enjin digunakan untuk mengecas bateri sistem hibrid dan motor elektrik menggerakkan kenderaan. Pemandu boleh memilih untuk menetapkan berapa peratus bateri yang ingin dikekalkan dan membenarkan Chery Tiggo 8 PHEV beroperasi menjadi sebuah kereta hibrid dengan series hybrid.

Satu lagi contoh semasa di Malaysia ialah Proton e.MAS 7 PHEV, yang ditawarkan dengan bateri 18.4 kWh dan jarak pemanduan elektrik yang diiklankan sehingga 105 km bagi varian Premium Plus. Sama seperti Chery Tiggo 8 PHEV, e.MAS 7 PHEV juga boleh beroperasi dalam mode series hybrid

REEV pula mengambil pendekatan yang berbeza dengan PHEV. Walaupun masih mempunyai enjin petrol, ia tidak digunakan untuk memacu roda secara terus. Sebaliknya tugas utama enjin adalah menghasilkan elektrik.

Apabila bateri mempunyai tenaga yang mencukupi, motor elektrik menggunakan tenaga daripada bateri untuk menggerakkan kereta. Apabila tahap bateri menurun atau sistem memerlukan lebih banyak tenaga, enjin petrol akan dihidupkan secara automatik untuk menghasilkan elektrik yang akan disimpan dalam bateri dan membekalkan kuasa pada motor elektrik

Jadi walaupun enjin petrol sedang hidup, roda masih digerakkan oleh motor elektrik. Inilah sebab mengapa pengalaman pemanduan REEV biasanya lebih menyerupai sebuah EV berbanding kereta hybrid konvensional dan juga PHEV.

Sistem Nissan e-POWER adalah contoh yang sangat mudah untuk memahami konsep ini. Nissan sendiri menerangkan bahawa dalam e-POWER, enjin petrol bertindak sebagai generator manakala motor elektrik sahaja yang memacu roda. Sistem itu juga tidak memerlukan pengecasan melalui plug.

Sebab itu Nissan Kicks e-POWER dan Nissan Serena e-POWER boleh dianggap sebagai contoh terbaik untuk menerangkan konsep series hybrid yang sangat hampir dengan REEV. Kicks menggunakan enjin 1.2 liter sebagai penjana elektrik dan bateri 2.06 kWh manakala Serena menggunakan enjin 1443 dan bateri 1.77kWh

Namun begitu, ada satu perbezaan terminologi yang perlu diperjelaskan. Nissan tidak memasarkan Kicks e-POWER sebagai REEV, sebaliknya menggunakan nama e-POWER untuk sistem series hybrid mereka. REEV moden biasanya merujuk kepada kenderaan yang turut mempunyai bateri lebih besar dan boleh dicas menggunakan sumber elektrik luaran.

Di sinilah perkara menjadi lebih menarik kerana walaupun Nissan Kicks e-POWER mempunyai konsep asas yang sama dengan REEV kerana motor elektrik memacu roda dan enjin petrol berfungsi sebagai generator. Tetapi Kicks tidak mempunyai fungsi plug-in. Baterinya hanya dicas melalui enjin-generator dan sistem brek regeneratif sahaja

REEV moden pula lazimnya mempunyai bateri yang jauh lebih besar daripada Nissan Kicks serta Serena dan boleh dicas daripada sumber elektrik luaran. Apabila bateri penuh, kereta boleh digunakan seperti EV untuk jarak tertentu. Apabila bateri semakin rendah, barulah enjin petrol mengambil alih tugas sebagai range extender

Contoh yang baik ialah Leapmotor C10 REEVyang menggunakan bateri bersaiz 28.4 kWh bersama motor elektrik 158 kW dan enjin petrol 1.5 liter sebagai range extender. Versi REEV ini mampu memberikan jarak keseluruhan lebih 950 km berdasarkan angka WLTP yang diterbitkan untuk pasaran Eropah.

Apa yang menarik ialah Leapmotor C10 REEV juga mungkin akan dipasang di Malaysia dalam versi CKD bersama-sama dengan varian EV iaitu Leapmotor C10 EV pada masa akan datang

Sekiranya diperhatikan dengan teliti, konsep REEV ialah ia cuba menyelesaikan salah satu masalah utama EV iaitu range anxiety disebabkan saiz bateri yang kecil. Bagi EV biasa, apabila bateri hampir habis, pemandu perlu mencari pengecas.

Bagi REEV pemandu boleh menggunakan enjin petrol yang bertindak sebagai generator apabila bateri memerlukan tambahan tenaga ketika perjalanan jarak jauh tanpa perlu risau berkenaan jarak dan isu pengecasan.

Dengan kata lain, pengguna mendapat pengalaman pemanduan seperti EV tetapi masih mempunyai sokongan tambahan dengan menggunakan petrol untuk perjalanan jauh. Kelebihan ini amat menarik untuk pengguna yang mahukan pengalaman pemanduan elektrik tetapi belum bersedia bergantung sepenuhnya kepada rangkaian pengecasan awam.

PHEV pula mempunyai kelebihan kerana sistemnya lebih fleksibel. Ia boleh menggunakan motor elektrik, enjin petrol atau gabungan kedua-duanya untuk memacu roda, bergantung kepada reka bentuk dan keadaan pemanduan.

Bagi pengguna yang mempunyai akses kepada pengecasan di rumah, PHEV boleh digunakan sebagai EV untuk perjalanan harian dan menggunakan petrol untuk perjalanan jauh. Namun, kelebihannya sangat bergantung kepada disiplin pemilik untuk mengecas bateri secara konsisten.

Kalau pemilik tidak pernah mengecas, PHEV pada asasnya menjadi membazir disebabkan ia perlu membawa bateri besar yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya dan pada masa sama perlu membawa enjin petrol.

Jadi, Nissan Kicks e-POWER boleh dijadikan contoh paling mudah untuk menerangkan konsep series hybrid, kerana roda digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik dan enjin hanya menghasilkan elektrik. Namun untuk contoh REEV yang lebih lengkap, Leapmotor C10 REEV lebih tepat kerana ia menggabungkan motor elektrik, bateri yang lebih besar, pengecasan luaran dan enjin petrol sebagai range extender.

Google ads
Back to top button