Buletin

WALAUPUN BERUSIA, MITSUBISHI MIRAGE MASIH DIJUAL DAN INI MODEL 2019

Model ikonik Jepun bukan setakat Lancer dan Evo sahaja, ada lagi beberapa model yang mempunyai sejarah panjang.

Rakyat di negara kita pasti sangat kenal dengan Satria dan Putra yang asalnya adalah Mitsubishi Mirage dan Mirage Asti.

Mirage pertama kali diperkenalkan pada tahun 1978 dan sejak itu model ini hadir dalam pelbagai bentuk.

Daripada hatchback kepada sedan, hot hatch dan coupe.

Mirage pernah dihentikan pada tahun 2003 selepas generasi kelima dan kemudian dihidupkan kembali pada tahun 2012 hingga sekarang.

Mitsubishi Mirage ‘rare’

Menariknya, nama Mirage diselang seli dengan Colt dengan sejarah lebih lama iaitu sejak 1968 sehingga Colt Plus yang eksklusif untuk pasaran Taiwan sekarang.

Di negara kita, Mitsubishi Mirage generasi keenam dan Attrage (Mirage sedan) sudah beberapa tahun dihentikan.

Berbeza dengan pesaing lain seperti Perodua Myvi, Proton Iriz dan Kia Picanto, kereta bandar Mitsubishi ini tampil dengan reka bentuk konservatif.

Tiada apa yang hendak diketengahkan kecuali ia hadir dengan pakej ringkas dan mudah.

JUALAN AKSESORI TULEN MITSUBISHI
Mirage Malaysia – 2015

Namun begitu Mirage di pasaran luar terus dikemaskini supaya lebih relevan di mata pengguna.

Pengguna yang dimaksudkan ialah di United Kingdom dan Mitsubishi membuat beberapa perubahan untuk model 2019.

Sasarannya mudah sahaja, fokus kepada menyediakan varian dengan harga kompetitif dalam segmen kereta kecil.

Maknanya ialah bersaing dengan harga. Untuk itu Mirage 3 diperkenalkan sebagai model asas dengan transmisi manual dan GBP 1,000 lebih rendah daripada Mirage Juro yang dihentikan jualan.

Mirage UK – 2019

Varian paling premium iaitu Mirage 4 pula ditambah baik dan mempunyai transmisi manual dan automatik.

Mirage bukan setakat murah tetapi juga hadir dengan kos pemilikan yang rendah.

Maklumlah, kereta ini digerakkan oleh enjin tiga silinder 1.2 liter MIVEC berkuasa 80 hp dan tork 106 Nm.

Daya pecutannya pun biasa sahaja dengan pecutan 0 – 100 km/j mengambil masa 12.7 saat.

Mirage UK – 2019

Walaupun mempunyai spesifikasi asas, Mirage 3 dilengkapi roda aloi 14 inci, lampu belakang LED dan spoiler belakang.

Bahagian dalam pula dilengkapi stereng balutan kulit, sistem audio dengan fungsi Bluetooth dan empat pembesar suara.

Satu yang mengejutkan apabila ia turut dilengkapi sensor hujan automatik untuk penggilap cermin, kemasukan kereta tanpa kunci dan butang penghidup enjin dan sistem mula henti.

Mirage 4 pula lebih mewah melalui fungsi Navigasi Global Mitsubishi (MGN) dengan integrasi navigasi satelit, audio DAB serta kemudahan Apple CarPlay dan Android Auto.

Mirage UK – 2019

Kelengkapan lain ialah kawalan suhu, kawalan jelajah, kerusi depan dengan pemanas, lampu depan Bi-Xenon, sensor parkir belakang dan roda aloi 15 inci.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana populariti Mirage di UK namun jualan di Amerika Syarikat pada tahun 2018 ialah sebanyak 22,568 unit dan angka lebih daripada 20,000 unit konsisten dicapai sejak tahun 2015 lagi.

Berikut ialah harga Mitsubishi Mirage di UK:

 Varian  Harga
 Mirage 3 Manual  £11,295 / RM 60,243
 Mirage 4 Manual  £13,355 / RM 71,237
 Mirage 4 Auto  £14,020 / RM 74,803

*1 GBP = RM 5.33

BACA: MITSUBISHI LANCER 1.5 YANG DISUMPAH JADI EVOLUTION 6

BACA: MITSUBISHI LANCER GT – “PROJECT X” – EVO TEN!

Satria Mirage!
Tags
Google ads
Back to top button