Buletin

WARGA EMAS MAUT DILANGGAR TAYAR LORI YANG TERCABUT DI LAHAD DATU

Seorang warga emas berusia 64 tahun maut apabila terkena sebuah tayar lori yang tercabut. Kejadian malang itu berlaku di Kilometer 9, Jalan Lahad Datu – Sandakan, berdekatan Kampung Tamoi, di Lahad Datu, Sabah.

Berlaku pada jam 10.20 pagi, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dilapor meninggal dunia di lokasi kejadian.  

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor memberitahu lori tangki membawa muatan minyak sawit itu dalam perjalanan dari arah Sandakan menuju ke Lahad Datu.

Apabila tiba di lokasi kejadian, tayar kiri (lori) pada bahagian tengah tercabut. Tayar itu kemudian terkena mangsa yang sedang berjalan kaki di bahu jalan raya.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan. Mayatnya kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.

Polis menahan pemandu lori berusia 42 tahun yang juga warga Indonesia di lokasi kemalangan bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati, lelaki berkenaan tiada lesen memandu. Ujian air kencing pemandu terbabit negatif dadah dan darahnya diambil untuk diuji.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Harian Metro

Tags
Google ads
Back to top button