Buletin

WHO GESA KERAJAAN DI SELURUH DUNIA MANSUH SEKATAN PERJALANAN, TIDAK BERKESAN SEKAT OMICRON

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara-negara di seluruh dunia agar menarik balik arahan sekatan perjalanan dan vaksinasi mandatori bagi kemasukan pelawat. Ini kerana badan dunia menyifatkan langkah tersebut tidak berkesan, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu, peraturan tersebut sebaliknya perlu dibuat berdasarkan penilaian risiko.

“Kegagalan sekatan perjalanan  yang diperkenalkan selepas varian Omicron dikesan bagi mengawal penularannya di peringkat antarabangsa terbukti tidak berkesan.

“Sekatan perjalanan sepatutnya dibuat berdasarkan penilaian risiko, manakala kerajaan-kerajaan perlu mengelak daripada meletakkan beban kewangan terhadap pelancong antarabangsa. Ini selaras dengan Perkara 40 Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR),” kata WHO dalam satu kenyataan.

Sementara itu, kenyataan  sama turut menjelaskan bahawa negara-negara dunia perlu mempertimbangkan pendekatan berasaskan risiko bagi memudahkan perjalanan antarabangsa.

“Ia boleh dilakukan dengan cara menarik balik atau mengubah suai langkah seperti ujian dan/atau keperluan kuarantin sekiranya perlu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus sebelum ini memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin  dunia bahawa pandemik Covid-19 masih jauh daripada  berakhir.

Beliau turut menambah bahawa varian Omicron menyebabkan peningkatan kemasukan ke hospital dan kematian di seluruh dunia.

“Jangan buat silap. Varian Omicron telah menyebabkan kemasukan ke hospital, kematian, bahkan kes-kes kurang teruk telah membebankan sistem perubatan.

“Omicron mungkin  kurang teruk secara purata, namun pandangan yang menyatakan bahawa varian itu bersifat sederhana adalah tidak benar. Ia akan menyebabkan banyak nyawa melayang,” tegasnya.

Tedros turut memberi amaran bahawa dengan penularan varian Omicron di peringkat global, ia memberi risiko terhadap kewujudan varian-varian baharu yang lain.

“Justeru itu, pengesanan dan penilaian adalah kekal penting,” ujarnya. – AGENSI   

Google ads
Back to top button