Buletin

PENGELUAR KENDERAAN PENING KEPALA.38 MINGGU NAK TUNGGU PESANAN CIP

Kekurangan bekalan cip terus membelenggu para pemain pengeluar automotif.

Sehingga kini, masalah berkenaan telah menyebabkan gangguan terhadap proses pembikinan di seluruh dunia.

Tidak kira sama ada pengeluar kenderaan besar mahupun kecil, berdepan situasi sukar apabila kekurangan cip malah ada mengambil keputusan untuk menghentikan produksi model tertentu sehingga bekalan dapat dipulihkan semula.

Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana bekalan cip tidak dapat dibekalkan dalam tempoh sehari dua.

Menurut data dikeluarkan Susquehanna Financial Group, tempoh menunggu bekalan semikonduktor semakin meningkat saban hari.

Pengeluar kenderaan kemungkinan besar perlu menunggu sehingga 38 minggu untuk menerima pesanan mereka.

Secara teori, terdapat tanda-tanda pemulihan tetapi ia masih membimbangkan.

Pada awal minggu lalu, General Motors yang merupakan antara syarikat terjejas akibat kekurangan bekalan cip mengumumkan menambah syif lebih masa di beberapa kilang Amerika Utara untuk mempercepatkan proses produksi beberapa model kenderaan.

Ia terpaksa dilakukan apabila operasi beberapa kilang dihentikan berikutan kekurangan bekalan cip.

Begitupun, GM memaklumkan mereka telah menerima pesanan cip dalam kuantiti banyak sekali gus dapat membikin lebih banyak kenderaan.

Situasi berkenaan tidak meredakan keadaan kerana GM menjangkakan berdepan kesukaran pada tahun hadapan apabila kemungkinan tercetus gelombang krisis cip baharu sehingga menjejaskan perniagaan.

Dalam pada itu, firma penyelidikan pasaran, IDC percaya industri automotif bakal berdepan risiko baharu pada tahun 2023 iaitu lebihan cip.

Ia berikutan semua pemain industri melabur dalam meningkatkan kapasiti tanpa mengambil kira apa yang akan berlaku apabila produksi sejajar dengan permintaan. – autoevolution

Google ads
Back to top button