Buletin

TOYOTA HILUX BAWA DADAH RM27.3 JUTA TERBABAS MASUK PARIT DI PASIR MAS

Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas tiga jenis dadah bernilai RM27.3 juta selepas menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbabas sebelum terjunam masuk ke dalam tali air di Kampung Padang Embun, Pasir Mas, Kelantan semalam.

Rampasan melibatkan dadah jenis syabu seberat 300 kilogram, pil kuda (1.6 juta biji) dan ganja (200 kilogram) itu dilakukan hasil maklumat yang diterima oleh PGA.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota bersama pegawai yang membuat rondaan telah mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Trak pikap itu dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di persimpangan lampu isyarat Kampung Lemal.

“Anggota PGA telah mengarahkan pemandu untuk berhenti, namun lelaki itu telah bertindak memecut laju. Sepanjang 10 kilometer mengejar suspek, anggota PGA telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar bertujuan untuk menghentikan pacuan empat roda itu.

“Tembakan itu telah menyebabkan kenderaan tersebut akhirnya terbabas dan terjunam di dalam kawasan tali air di Kampung Padang Embun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat, Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar dan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir.

Hazani memberitahu, pemandu kenderaan itu bagaimanapun berjaya keluar dan melarikan diri sebelum menaiki sebuah kereta jenis Volkswagen Golf GTI dipandu oleh seorang lagi lelaki.

Pemeriksaan ke atas kenderaan itu telah membawa kepada penemuan bungkusan mengandungi tiga jenis dadah tersebut.

Justeru, polis kini sedang mengesan dua lelaki iaitu Mohd. Nasarudin Hassan, 59, dan Amin Kassim, 42 yang dipercayai terlibat dalam kes rampasan dadah tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Google ads
Back to top button