WULING CAPGEMINI HYBRID PLATINUM EDITION – MPV CHINA HIBRID YANG ORAIT JUGA KAN
Rekaan kenderaan di China ada dua aja, sama ada betul betul lawa atau pun boleh buat kita urut dada rasa nak terajang komputer kalau tengok dia punya gambar. Tapi yang ini, Wuling Capgemini Hybrid Platinum Edition semenangnya nampak cukup elegan dan bergaya. Tak ada rasa nak mencarut ke apa.
Jenama Wuling ini diantara pengeluar dari China yang semakin aktif cuba menakluki pasaran luar selain daripada pasaran negara sendiri. Malah, jenama Wuling ini turut boleh tahan popular juga di negara jiran Indonesia.
Asalnya ianya adalah merupakan model Wuling Victory yang diperkenalkan kepada pasaran pada tahun 2020 ketika Chengdu Motor Show bagi memenuhi kehendak pasaran dalam segmen MPV premium bersaiz sederhana. Dan kini SAIC-GM-Wuling (SGMW) memperkenalkan pula versi tingkat taraf model sedia ada. Kini ianya dikenali sebagai Wuling Capgemini Hybrid Platinum Edition.
Rekaannya kelihatan agak minimalis tetapi masih lagi kelihatan moden dan bergaya. Lampu DRL berada di bahagian atas manakala lampu utama LED pula berada di bahagian bawah. Rekaan bampar hadapan pula sedikit menyerlah dengan penggunaan gril baharu yang dilatari dengan elemen krom. Elemen yang sama turut diaplikasikan pada bahagian bawah bampar dan juga skirting kiri dan kanan.
Untuk sebuah MPV dengan penggunaan pintu jenis daun di bahagian belakang, proposisi diantara pilar B dan pilar C kelihatan cukup teratur dengan rekaan bumbung terapung yang cukup kena tanpa rasa pelik. Ada garis dari pintu hadapan yang selari hingga ke belakang.
Kabin MPV ini yang sememangnya ditujukan untuk pasaran premium sudah pastinya menampilkan ciri dan elemen yang nampak mahal. Tempat duduk dibalut kulit berwarna cerah sememangnya kelihatan cukup premium yang dikonta dengan warna biru gelap di bahagian pintu dan dan perehat tangan. Bahagian tengah tersedia sistem infohiburan 10.25 inci yang hadir dengan sistem operasi Ling OS Lingxi bagi membolehkan arahan kawalan suara digunakan.
Menambahkan ciri premium, MPV ini hanya dibekalkan dengan empat tempat duduk sahaja dan bukannya enam atau pun tujuh. Barisan kedua hanya menempatkan dua kerusi kaptem yang cukup mewah dan premium apabila lengkap dengan perehat kaki. Memang cukup sesuai untuk bos bos.
Berbanding model sebelumnya menggunakan enjin 1.5 liter turbo, MPV ini menggunakan enjin 2.0 liter berserta motor elektrik dengan kuasa maksimum 100 kW dan tork 320 Nm.
Harga yang ditawarkan untuk model premium ini dijangka pada harga boleh mencecah sehingga ke Yuan 125,800 (RM80,617). Tak adalah mahal sangat kan sebenarnya?
BACA : WULING VICTORY – MPV BAHARU DARI CHINA MULA MENUNJUKKAN DIRINYA
BACA : WULING FORMO MAX – TRAK PIKAP TERBAHARU UNTUK PASARAN INDONESIA