Buletin

WULING MAHU MENJADI RAJA EV DI INDONESIA. USAI AIR EV DAN BINGUO EV, KINI MUNCUL PULA CLOUD EV

Pengeluar kenderaan yang berasal dari China, Wuling Motors yang juga dianggap sebagai otai untuk segmen kenderaan elektrik di Indonesia bersedia untuk meneruskan cengkaman dalam segmen tersebut apabila akan mula untuk menawarkan model terbaharu, Wuling Cloud EV.

Ini adalah model elektrik ketiga sementelah terlebih dahulu menawarkan model yang kiut, Air EV dan juga Binguo EV terhadap pasaran kenderaan elektrik di Indonesia. Dan sambutan yang diberikan terhadap jenama Wuling ini cukup baik. Maka, selayaknya Wuling Motors memperkenalkan pula model terbaharu untuk pasaran di sana.

Jika dilihat dari segi penampilan, jelas sekali Cloud EV ini terus menampilkan sisi kematangan dalam setiap penghasilan model elektrik di pasaran Indonesia yang telah dimulakan dengan Air EV sebagai sebuah kenderaan yang kiut dan comel.

Wuling Cloud EV ini dilihat sebagai model mode pengangkutan yang cukup sesuai untuk membawa sekeluarga kecil (2 dewasa + 3 anak anak). Apatah lagi ianya turut mempunyai kapasiti ruangan but belakang yang boleh tahan besar juga 606 liter sekiranya semua tempat duduk digunakan. Malah, ianya mampu mencapai 1,707 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua dilipat.

Rekaan lampu DRL yang diposisikan di bahagian atas serta lampu utama LED di bahagian bampar mungkin membuatkannya kelihatan cukup moden dan elegan untuk sebuah kereta elektrik dengan fungsi auto. Penggunaan rim bersaiz 18 inci dengan rekaan Ferris menyerikan lagi penampilan luaran Cloud EV ini.

Pemegang pintu juga ditanam di panel pintu dan hanya akan dikeluarkan ketika untuk membuka pintu sahaja. Paling penting, bonet di belakang juga mempunyai fungsi auto tailgate untuk lebih keselesaan.

Jikalau bahagian luaran juga sudah mampu menarik, maka daya penarik juga diteruskan di bahagian kabin terutamanya di bahagian tempat duduk. Tempat duduknya kini dibalut dengan kulit sintetik dengan penggayaan Bubble Sofa Style persis sofa di rumah untuk memberikan sedikit gaya retro. Dan untuk sistem infohiburan, ianya menggunakan paparan skrin sesentuh bersaiz 15.6 inci.

Wuling Cloud EV ini menggunakan pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) bersertifikasi IP67 dengan motor elektrik berkuasa sehingga 100 kW dengan keupayaan bergerak sehingga 460 km jauhnya. Suatu angka yang cukup jauh.

Dengan harga yang dianggarkan sekitar Rp410 juta (RM120,879) ianya dilihat cukup kompetetif untuk menarik pembeli EV di sana sekali gus menjadi Raja EV di sana. Khabarnya, untuk suku pertama tahun 2024 ini, Wuling jelas mendominasi segmen kenderaan elektrik dengan model Binguo EV menjadi pilihan utama disamping model Air EV yang masih lagi menjadi pilihan pembeli di sana.

BACA : WULING AIR EV BOLEH TAHAN LAKU JUGA DI INDONESIA

BACA : PRA-JUALAN WULING MINI EV CABRIO CECAH 100,000 UNIT SELEPAS 72 JAM TEMPAHAN DIBUKA

Google ads

B K

Back to top button