Buletin

PRA-JUALAN WULING MINI EV CABRIO CECAH 100,000 UNIT SELEPAS 72 JAM TEMPAHAN DIBUKA

Wuling Mini EV Cabrio mengumpul lebih 100,000 pra-jualan dalam tempoh 72 jam selepas tempahannya dibuka pada 1 September lalu.

EV Cabrio menggunakan mod tempahan loteri, bermakna hanya pelanggan yang memenangi loteri boleh membeli kereta itu. 200 pelanggan terpilih dalam kalangan kumpulan pertama akan menerima kenderaan mereka dalam tempoh 90 hari selepas pembelian.

Wuling menjadi jenama yang kukuh dalam pasaran kenderaan elektrik mini di China setelah model Hongguang MINI EV mendominasi jualan sejak dilancarkan. Dari Januari hingga Julai tahun ini, lebih 220,000 unit telah dijual.

Wuling Mini EV Cabrio bersaiz 3059/1521/1614mm dengan jarak roda 2010mm disasarkan kepada golongan muda. Ia hanya mempunyai dua tempat duduk berbanding versi hatchback empat tempat duduk. Pembeli juga mendapat bumbung boleh lipat jenis soft-top. Di belakang tempat duduk pula terdapat roll bars untuk perlindungan tambahan.

Wuling mmbuatkan jentera berkenaan lebih ringkas dengan hanya menawarkan dua warna dalaman iaitu merah dan putih. Skema warna meliputi tempat duduk, kemasan pintu dan papan pemuka.

Model kompak tersebut dikuasakan oleh motor elektrik dengan output 30kW (41hp) dan tork 110Nm. Kelajuan tertingginya ialah 100km/j manakala bateri mempunyai kapasiti 26.5 kWj dengan jarak perjalanan sejauh 280km berdasarkan kepada piawaian CLTC. Jarak itu sebenarnya 20km kurang berbanding model hatchback dengan bateri yang sama.

GALERI:

Google ads
Back to top button