Artikel Pilihan

VOLKSWAGEN GOLF R 2.5 5 SILINDER- 400HP DARI AUDI?

Volkswagen nampaknya sedang menyimpan enjin terbaik untuk kemuncak era enjin petrolnya. Enjin turbo lima silinder 2.5 TFSI akan bersara tidak lama lagi, tapi sebelum ia lenyap khabar angin mengatakan ia akan dipasang pada sebuah Golf R versi hardcore sempena meraikan ulang tahun ke-25 sub-jenama R pada tahun 2027.

Seawal tahun 2020 lagi sudah kedengaran desas-desus Volkswagen mahu memasang enjin EA855 ke dalam Golf R. Cuma ketika itu, Audi tak begitu setuju disebabkan mereka mahu mengekalkan eksklusiviti enjin tersebut. Tapi situasi kini berubah apabila Cupra Formentor VZ5 sudah pun pakai enjin sama dengan kuasa menghampiri 400 hp.

Sebuah Golf R prototaip yang nampak lebih garang berjaya dirakam ketika sesi ujian, malah sebuah Audi RS3 misteri turut dikesan sedang diuji di Nürburgring menguatkan lagi khabar angin ini. Besar kemungkinan kedua dua jentera menggunakan versi dipertingkat enjin lima silinder ini.

Bos Audi Sport, Sebastian Grams, pernah berkata yang jurutera masih boleh memerah lebih banyak kuasa tanpa perlu menggunakan bantuan motor elektrik. Malah Donkervoort F22 iaitu kereta sports istimewa dari Belanda sudah membuktikan enjin ini boleh menjana hampir 500 hp.

Cuma, untuk Golf R, angka itu dijangka lebih konservatif. Menurut laporan Autocar, Golf R versi 5-silinder mungkin akan menjadi lebih berat sekitar 25 kg, walaupun perlu menggunakan brek lebih besar dan casis yang diperkukuh.

Jika berita ini menjadi realiti, ini bukan kali pertama Golf menggunakan enjin lima silinder. Tetapi dengan lebih 400 hp, ia bakal menjadi Golf paling berkuasa dalam sejarah. Ia dijangka hanya ditawarkan dengan transmisi 7-kelajuan DSG terkini, memandangkan transmisi manual sudah pun dihentikan selepas facelift Golf R tahun lepas.

Selain itu, VW mungkin turut meminjam teknologi torque-vectoring rear differential (torque splitter) daripada Audi RS3. Ini boleh memberi peluang kepada Golf R baharu untuk memecahkan rekod Nürburgring, yang kini dipegang oleh Golf GTI Edition 50 dengan catatan masa 7:46.13.

Persoalannya, siapa akan pilih Volkswagen Golf R 5-silinder berbanding Audi RS3? Jawapannya ada pada rekaan bentuk badan. Di AS, Audi RS3 hanya datang sebagai sedan, jadi peminat hatchback akan lebih cenderung ke Golf yang dihasilkan dalam rekaan hatchback. Di pasaran lain, Golf 2.5 TFSI akan jadi pilihan untuk mereka yang mahu model paling berkuasa sebelum model seterusnya (Mk9) beralih sepenuhnya kepada elektrik.

Google ads
Back to top button