Buletin

VOLKSWAGEN T-ROC 2026 TAMPIL LEBIH PANJANG, PRAKTIKAL DAN LEBIH MODEN!

Sejak diperkenalkan pada 2017, Volkswagen T-Roc terus menjadi salah satu model terlaris syarikat Jerman itu dengan lebih dua juta unit terjual.

Kini, generasi kedua T-Roc diperkenalkan di Eropah, hadir dengan reka bentuk lebih matang, teknologi baharu serta ruang kabin lebih praktikal.

Diletakkan di tengah barisan SUV Volkswagen, T-Roc baharu kini lebih panjang berbanding model sebelumnya dengan ukuran 4,373mm. Jarak roda turut dipanjangkan sebanyak 28mm, sekali gus meningkatkan keselesaan penumpang belakang.

Varian R-Line tampil seiring gaya semasa dengan lampu jalur hadapan-belakang, lencana bercahaya serta rim sehingga 20-inci. Walaupun tampil sporty, sesetengah perincian seperti logo “R” pada bampar mungkin kelihatan sedikit janggal.

Di bahagian dalam pula, hampir semua kawalan kini digantikan skrin sentuh besar bersaiz 10.4 atau 12.9-inci. Fungsi kawalan pendingin hawa juga dialihkan ke paparan utama. VW bagaimanapun menjanjikan butang fizikal akan kembali pada model akan datang.

Perubahan ketara lain ialah penggunaan penukar gear pada stereng, hasil daripada keputusan menghentikan transmisi manual. Semua varian generasi baharu ini dilengkapi transmisi automatik DSG tujuh kelajuan.

Beralih pada kuasa,T-Roc ditawarkan dengan enjin 1.5 liter mild-hybrid petrol, sama ada 114hp atau 148hp, semuanya pacuan roda hadapan. Pilihan enjin 2.0 liter dengan sistem 4Motion turut tersedia untuk mereka yang mahukan lebih kuasa.

Dua varian hibrid sedang dibangunkan, tetapi VW menegaskan tiada rancangan menghasilkan versi elektrik penuh buat masa ini.

Selain itu,ruang kargo turut meningkat kepada 465 liter manakala pekali seretan dikurangkan kepada 0.29, menjadikan SUV ini lebih cekap. T-Roc baharu juga menjadi model VW pertama yang menggunakan sehingga 40kg plastik kitar semula dalam kabinnya.

Volkswagen mengesahkan varian berprestasi tinggi, T-Roc R, akan hadir pada 2027 dengan enjin 2.0 liter turbo sama seperti Golf R.

Di Eropah, T-Roc semakin popular bahkan mencatatkan jualan melebihi Golf sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.

Generasi kedua ini bakal mula menghiasi bilik pameran November depan, manakala versi convertible model lama masih diteruskan sehingga 2027.

Google ads
Back to top button