Buletin

BUFORI CS8 RASMI DILANCARKAN – 6.4L V8 SUPERCHARGED, HARGA RM2.19 JUTA

Bufori Motor Car Company hari ini secara rasmi melancarkan Bufori CS8, sebuah grand tourer berprestasi tinggi yang dibina sepenuhnya di Malaysia.

Model terbaharu ini menandakan lembaran baharu dalam hampir 40 tahun sejarah Bufori menghasilkan kereta mewah unik yang boleh ditempah mengikut citarasa pemilik.

CS8 dibina menggunakan struktur monokok Carbon-Kevlar, yang ringan tetapi kukuh, dengan berat permulaan sekitar 1,550 kg.

Agihan berat 25 peratus di setiap penjuru menjadikan pengendalian lebih seimbang. Sistem gantungan pula terdiri daripada Independent SLA (Short-Long Arm) di hadapan dan multilink lima pautan di belakang, diselaraskan untuk memberikan gabungan kawalan tepat di selekoh serta keselesaan pemanduan jarak jauh.

Untuk membrek, CS8 menggunakan sistem Brembo khusus, angkup enam piston di depan dan empat piston di belakang, manakala tayar prestasi tinggi Michelin membekalkan cengkaman mantap dalam semua keadaan cuaca.

Bahagian kabin CS8 pula dilengkapi tempat duduk Recaro elektrik dibalut kulit premium, manakala panel karbon gentian menjadi perincian eksklusif yang menyerlahkan DNA perlumbaan kereta ini.

Skrin sesentuh menegak 13.6-inci hadir dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, digabungkan dengan sistem audio 6.1 Channel untuk pengalaman hiburan premium. Ruang but seluas 252 liter turut menempatkan set kelengkapan Snap-On bertanda Bufori.

Jantung kepada CS8 ialah enjin V8 6.4 liter supercharged dengan konfigurasi “front mid-mounted” yang menghasilkan 810hp (750hp di roda), dipadankan bersama transmisi automatik 8-kelajuan paddle shift.

Kuasa hanya disalurkan ke gandar belakang melalui limited slip differential, membolehkan pecutan 0–100 km/j hanya dalam 3.0 saat dengan fungsi launch control. Kelajuan maksimum pula dihadkan pada 330 km/j.

Bagi yang mahukan pilihan lain, Bufori turut menawarkan versi NA (naturally aspirated) enjin V8 dengan 475hp/640Nm, atau enjin V6 3.6 liter sama ada dengan supercharger (455hp/495Nm) atau NA (320hp/352Nm).

Keselamatan juga diberi keutamaan dengan pelbagai ciri moden termasuk;

  • Adaptive Cruise Control
  • Lane Departure Warning
  • Forward Collision Warning
  • Blind Spot Monitoring
  • Rear Cross Traffic Alert

Seperti semua model Bufori lain, setiap CS8 dibuat sepenuhnya mengikut pesanan. Pemilik boleh memilih warna cat, corak jahitan kulit, bahan kemasan dalaman dan hampir setiap perincian lain.

Malah, sebagai sentuhan peribadi, setiap pembeli menerima model skala CS8 mereka sendiri.

Untuk harga pula, Bufori CS8 ditawarkan pada harga bermula RM2.19 juta, menempatkannya dalam kelas tersendiri.

GALERI:

Google ads
Back to top button