BuletinMotosikal

YAMAHA EXCITER 2018 MASIH ENJIN SAMA. 5 KELAJUAN. TIADA 155 VVA. TAPI KENAPA?

Walaupun ramai yang menjangkakan Yamaha akan memperbaharui Y15ZR (Exciter 150) untuk model 2018 dengan enjin berteknologi VVA dan peningkatan sesaran 155cc, namun ia tidak berlaku.

Semalam, Yamaha Vietnam mendedahkan spesifikasi penuh. Selain peningkatan kosmetik dan teknikal, tiada perubahan yang dibuat pada bahagian enjin. Model ini masih lagi mengekalkan enjin satu silinder sejukan cecair SOHC 150 cc, suntikan bahanapi yang menghasilkan 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm. Ia digandingkan bersama transmisi lima kelajuan.

Sebagai perbandingan, kesemua motosikal dalam kelas supermoped ini (Honda RS150R, Benelli RFS 150i, Sym 185cc) sudah pun menggunakan transmisi enam kelajuan.

BACA: PERBANDINGAN SPEC Y15ZR, RS150R, BENELLI & SYM

Persoalan yang menarik untuk dibincangkan di sini ialah…

KENAPA?

Baiklah, ini spekulasi kami…

Yamaha Exciter 150 / Y15ZR adalah motosikal yang laris dan merupakan model berpengaruh dalam kelasnya. Di pasaran penting seperti Vietnam, Exciter telah membina reputasinya sebagai kapcai jauh lebih awal. Nama Exciter telah digunapakai lama sebelum Y15ZR hadir. 

Model LC135 sudah menggunakan nama Exciter T135 dan sebenarnya, asas enjin Exciter 150 pun memang bermula dari zaman sistem karburetor LC 135 lagi. Ia bukan enjin yang baru sepenuhnya.

Enjin 150cc tersebut terbukti lasak dan dari generasi awal, Lebih sejuta unit Exciter terjual sejak diperkenalkan pada 2005 dan di Vietnam, Exciter merupakan supermoped paling laris dalam kelasnya.

Yamaha Vietnam percaya, mengekalkan enjin lama dan memperbaharui dari segi kosmetik akan meminimumkan kenaikan kos. Sudah tentu dalam masa yang sama, dengan persaingan terus dari Honda Winner 150 (RS150R) dan Suzuki Raider (Belang 150) yang semakin sengit, Yamaha perlu ada “sesuatu” untuk diperbaharui supaya Exciter 150 tidak kelihatan terlalu ketinggalan zaman.

Memasukkan elemen seperti meter digital dan lampu LED adakah salah satu ciri yang penting.

Jika anda masih ingat susur galur Yamaha LC135, ia adalah contoh bagaimana Yamaha “memperbaharui” model ini secara berperingkat supaya terus kekal relevan.

Mula diperkenalkan sebagai model asas LC135, klac automatik, empat kelajuan. Kemudian berkembang menjadi klac manual, kemudian ia berubah menjadi lima kelajuan, kemudian, perubahan-perubahan lebih besar mula hadir seperti brek cakera belakang, rim belakang dengan saiz tayar 100mm yang terbesar dalam kelasnya dan perubahan kit badan yang hampir merubah keseluruhan rekabentuk asal LC135 model pertama.

Itu adalah contoh. 

Jadi, kami percaya, Y15ZR akan mendapat enjin 155 VVA bila tiba masanya nanti. Yamaha mungkin tunggu dan lihat, apa yang akan dibuat oleh pesaing mereka.

Secara teknikalnya Yamaha tiada masalah untuk melengkapkan enjin berteknologi baru 155 VVA dan transmisi enam kelajuan. Mereka sudah ada teknologi tersebut.

Perkiraan yang dibuat Yamaha hari ini adalah mungkin berdasarkan faktor ekonomi. Membuat pembaharuan besar mungkin melibatkan kos yang tinggi dan meningkatkan harga jualan. Buat masa ini, walaupun setelah ditambah dengan akesori baru, julat harga Exciter masih lagi tidak banyak berbeza dengan Honda Winner 150 dan Suzuki Raider 150

Ya. Ia hanya spekulasi kami…

 

Tags
Google ads
Back to top button