Buletin

YAMAHA X FORCE 2025 DIPERKENAL DI JEPUN, WARNA BAHARU, MADGAD LABUH, RM12.2 RIBU

Yamaha NVX memang terkenal namun terdapat keluhan kerana tidak mempunyai lantai kaki yang rata dan terbuka.

Lantai rata tanpa halangan boleh diguna untuk meletakkan barangan seperti bungkusan nasi lemak, minuman dan barangan dari kedai runcit.

Nmax juga sama dan sebagai pilihan, Yamaha menawarkan Ego Gear dan Ego Avantiz dengan lantai terbuka namun memiliki sesaran enjin lebih kecil.

Di Jepun Yamaha tidak menjual NVX dan menariknya ditawarkan Xforce yang diperkenal pada 2022.

Berbeza dengan NVX dan Nmax, X Force memiliki lantai rata dan ketiga-tiganya menggunakan enjin 155cc. Xforce juga tampil dengan rekaan unik dan nampak ‘togel’ di depan dan belakang.

Terbaru Yamaha memperkenal X Force 2025 dengan perubahan ringkas.

Secara asasnya X force dibangunkan mengikut konsep Master of Street Scooter sebagai sebuah model yang selesa, praktikal dan seronok untuk ke tempat kerja atau pusat pengajian.

Satu lagi yang menarik, X Force juga nama sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi dan Yamaha turut membangunkan sistem audio untuk model itu.

X Force bukan skuter kosong dan dilengkapi sistem kawalan cengkaman, brek cakera belakang dan enjin Variable Valve Actuation atau VVA.

Turut dilengkapi sambungan telefon pintar dengan aplikasi khas yang boleh memaparkan makluman panggilan masuk, pengurusan penggunaan bahan api dan pelbagai lagi.

Perubahan model 2025 boleh dilihat pada madgad belakang yang lebih bagi menghalang percikan hujan dan lumpur dengan lebih berkesan.

Yamaha turut memperkenal empat warna baharu iaitu Matte Dark Green dengan riasan jingga pada sisi dan Matte Beige. Kedua-duanya cenderung kepada gaya rugged dan aktiviti luar.

Dua lagi warna iaitu putih dan hitam serasi untuk tunggangan harian di bandar atau membawa gaya kota.

Enjin 155cc X Force menghasilkan 15 ps pada 8,000 rpm dan tork 14Nm pada 6,500 rpm dan sama seperti Nmax pasaran Jepun.

Perbezaan boleh dilihat pada tangki minyak X Force dengan isian 6.1 liter berbanding 7.1 liter pada Nmax.

Dari segi ukuran, X Force memiliki panjang 1,920 milimeter (mm), lebar 760 mm dan tinggi 1,120 mm. Tinggi pelana 815 mm dengan jarak kelegaaan bumi 125 mm. Berat motosikal 130 kilogram.

Rim 13 inci enam batang dipadan bersama tayar 120/70-13M/C 53P di depan dan 130/70-13M/C 57P di belakang.

Cakera brek depan jenis berbunga berukuran 267 mm dengan angkup dua omboh dan cakera belakang 230 mm. Kedua-dua brek mempunyai sistem Anti-Kunci. Penyerap hentak belakang boleh dilaras.

Selain lantai rata, X Force mempunyai ruang simpanan bawah pelana dengan kapasiti 23.2 liter.

Yamaha X Force 2025 dijual pada harga 407,000 yen (RM12,229).

Google ads
Back to top button