Buletin

YAMAHA XMAX 250 2023 BAKAL TIBA DI PASARAN MALAYSIA? VARIAN TECH MAX, NAVIGASI GARMIN

Sejak diperkenalkan pada umum Oktober lalu, Yamaha XMax 250 2023 didakwa bakal tiba di pasaran Malaysia setelah dilihat melakukan ujian jalan raya baru-baru ini.

Model baharu itu tular di media sosial hasil perkongsian akaun TikTok Norman Tumin. Menurut laporan Moto Malaya, pasaran Malaysia hanya ditawarkan satu varian sahaja iaitu Tech Max.

Yamaha XMax 250 generasi baharu tampil dengan panel depan baharu serta padanan lampu LED hadapan dan belakang yang mempunyai pencahayaan berbentuk X. Secara visual, ia kelihatan lebih agresif bersama kemasan warna hitam.

Yamaha turut mengemaskini panel sisi, selain penghadang angin kini boleh dilaras untuk memberi perlindungan serta tunggangan lebih baik.

Varian tersebut didatangkan bersama panel TFT 4.2-inci dengan fungsi navigasi Garmin, sama seperti TMax Tech Max dan dipadankan dengan skrin tambahan 3.2 inci LCD.

Selain itu, XMax Tech Max juga dikemaskan lagi menerusi lapik aluminium pada peletak kaki, batang cermin sisi aluminium, serta lencana Tech Max aluminium di badan.

Untuk rekod, XMax 250 2023 mempunyai ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua helmet, brek cakera depan/belakang dengan ABS, rim 15-inci di hadapan dan 14-inci di belakang.

Perincian lain termasuklah tangki bahan api 13.2 liter, tinggi tempat duduk 795mm, kawalan cengkaman serta berat keseluruhan 183 kg selain, masih menggunakan fork teleskopik biasa serta dua penyerap di belakang.

Secara teknikal, tiada perubahan dilakukan oleh Yamaha. Ia masih dikuasakan oleh enjin 250cc Blue Core yang berupaya menghasilkan 22.5hp sementara tork pada 24.3Nm.

Untuk harga, kita hanya boleh menunggu sehingga pengumuman rasmi dibuat oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM). – Moto Malaya

GALERI:

Google ads
Back to top button