Buletin

NOMBOR PLAT ‘FF’ CATAT BIDAAN TERTINGGI DALAM SEJARAH – KUTIP RM34.3 JUTA

Bidaan nombor pendaftaran kenderaan bagi siri “FF” catat hasil kutipan tertinggi dalam sejarah sistem bidaan JPJeBid dengan kutipan berjumlah RM34.3 juta.

Untuk rekod, sejak bidaan dibuka dari 14 hingga 19 Mei lepas, seramai 34,032 orang menyertai bidaan itu dengan 8,348 daripada mereka berjaya membida nombor plat siri berkenaan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, bidaan tertinggi adalah siri ‘FF’ ialah FF8 dengan harga RM950,000, diikuti FF9 (RM911,999), FF3 (RM639,000) dan FF2 (RM638,000).

Sementara itu, lima nombor  mendapat minat paling tinggi adalah FF199 dengan seramai 34 pembida, FF51 (32 pembida) dan seterusnya FF155, FF555 serta FF1688 masing-masing 29 pembida.

“Jumlah penglibatan pembida dan pemenang bagi siri FF ini juga merekodkan penyertaan tertinggi sejak aplikasi dalam talian JPJeBid dilancarkan pada 15 April 2019,” katanya.

Tambah Loke, rebutan pembida begitu memberangsangkan sehingga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melanjutkan masa bidaan selama 24 jam, selain faktor kegagalan sistem itu akibat trafik begitu tinggi Khamis lepas.

Beliau turut memohon maaf atas kesulitan dan mengakui bahawa terdapat perkara perlu ditambah baik bagi memastikan kelancaran sistem itu.

Menjawab dakwaan bahawa tiga nombor dengan nilai bidaan tertinggi dimenangi oleh seorang individu yang sama, Loke berkata ia tidak menjadi masalah sekiranya benar kerana setiap pembida boleh membida sehingga tiga nombor dalam sesuatu siri.

“Selagi dia ikut peraturan dan membuat bidaan tertinggi, maka dia dapat (nombor plat). Kita tidak lihat kepada latar belakang pembeli,” respon Loke. – Malaysia Kini

Google ads
Back to top button