
PEMANDU WIRA AEROBACK LANGGAR PEGAWAI IMIGRESEN HINGGA MAUT AKHIRNYA SERAH DIRI
Pemandu kereta Proton Wira Aeroback yang disyaki merempuh motosikal ditunggangi pegawai imigresen sehingga maut dalam kejadian langgar lari di Kilometer 83.4 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Gurun pada pagi semalam ditahan polis pada petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 6.30 petang selepas dia menyerah diri di Pejabat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Kuala Muda.
Pemandu yang menetap di Taman Sri Gading, Pokok Sena dekat Alor Setar itu mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan melarikan diri kerana takut dipukul.
“Suspek juga berkata dia turut melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen memandu yang sah.
“Pemandu terbabit yang bekerja sebagai buruh memaklumkan dia memandu kereta milik abang iparnya semasa kejadian dan melarikan diri balik ke Pokok Sena sejurus kejadian,” katanya.
Kata Zaidy, pihaknya kini sedang menyiapkan dokumen untuk memohon perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Majistret Sungai Petani esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Kosmo Online






