
YUNA DUTA KEMPEN MITSUBISHI ASX
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) melantik penyanyi dan penulis lirik, Yuna sebagai duta kempen SUV kompaknya, Mitsubishi ASX.
“Yuna adalah pilihan tepat bagi kempen terbaru ini seiring dengan imejnya yang bergaya, moden, sederhana dan bersemangat.
“Mitsubishi ASX menggabungkan aspek utiliti dan praktikaliti sebuah SUV dengan keselesaan serta mudah dikendalikan. Apa yang pasti, Yuna dan ASX mewakili Style Meets Substance,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Yang Won-Chul.
Yuna menyatakan bahawa beliau memiliki model ASX sejak 2012.
“ Terima kasih kepada Mitsubishi Motors Malaysia di atas peluang kolaborasi ini. SUV kompak ini memiliki saiz yang ideal, tujuh beg udara dan sebuah kenderaan yang seronok dipandu,” katanya.
Mitsubishi ASX dilengkapi enjin 2.0 liter MIVEC. Enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa 150PS dan tork 197Nm. Penghantaran kuasa diserahkan kepada transmisi INVECS-III CVT dengan Mode Sports.
Tiga varian ASX ditawarkan di pasaran tempatan. Bermula dengan ASX 2WD GL yang berharga RM104, 791 diikuti ASX 2WD (RM 112,571) dan ASX 4WD (RM125,040) seunit.











