Buletin

HARGA SUPRA 2020 BOLEH DITERIMA OLEH PEMINAT TOYOTA, KETUA JURUTERA TOYOTA – YELAH TU…

Walaupun begitu banyak berita disiarkan tentang kereta sports Toyota Supra serba baharu, cuma ada satu perkara yang paling ditunggu-tunggu iaitu harganya.

Sebagaimana yang boleh dijangka, jangkaan harga kereta itu boleh dilihat kepada model kembarnya, BMW Z4M40i. Di pasaran Amerika Syarikat misalnya, model roadster dengan enjin enam selinder itu ditawarkan pada harga $65,690 (RM274,505) seunit.

Maka, indikasi harga Supra tahun 2020 mungkin tidak jauh bezanya. Menjawab soalan cepumas itu, Ketua Jurutera Toyota, Tetsuya Tada menyatakan bahawa pihaknya berdepan banyak tekanan demi memastikan Supra berjaya dari semua segi.

Antaranya ialah menjaga warisan kecemerlangan Supra dan terpaksa bersaing dengan banyak pesaing lain.

Hasilnya, Tada percaya Toyota akan menawarkan yang harga sepadan. “Harga Supra boleh diterima oleh para peminat Toyota,” kata Tada tanpa memberikan sebarang nombor.

Tada juga menyatakan apa yang lebih penting bagi Toyota adalah untuk memuaskan hati pelanggan dan bukannya menjual Supra dalam jumlah yang besar.

“Matlamat penghasilan kereta sports Toyota bukanlah hendak menjual Supra dalam jumlah yang banya. Tetapi menjualnya kepada pelanggan yang benar-benar meminatinya,” jelas Tada.

Tambahan pula, bukan senang untuk menilai kejayaan sesebuah kereta sports.

“Sebab itulah kebanyakan pengeluar kereta mengakui memang susah untuk menghasilkan kereta sports. Jika anda boleh jual banyak, baguslah. Apa yang pasti, kereta sports bukanlah satu keutamaan,” kata Tada sambil berjanji Supra lebih seronok dipandu berbanding kereta sports lain.

Google ads
Back to top button