Buletin

TOYOTA PRIUS MENANG WORLD CAR DESIGN OF THE YEAR 2024, PUROSANGUE DAN BRONCO PENUHI TIGA TERATAS

Semasa diperkenal pada November 2022, Toyota Prius generasi kelima berjaya menarik perhatian ramai melalui reka bentuk yang menyegarkan.

Di sebalik teknologi hibrid dan hibrid plug-in yang dibawa, reka bentuk Prius boleh menjadi punca pengguna jatuh cinta.

Bahagian depan membawa gambaran ikan yu kepala tukul, tiang A begitu landai, memuncak di bumbung penumpang belakang, turun ke bawah dan ditamatkan lampu dan bampar belakang.

Photos by Chris Chin / C Squared Photography for WCOTY © 2024 | Instagram: @CSquaredPhotography

Jenama Prius sebagai kenderaan hibrid tidak perlu diperkenalkan lagi dan terbaru reka bentuknya diiktiraf industri. 

Toyota Prius terpilih bagi memenangi anugerah World Car Design of the Year 2024!

Barisan model yang terpilih ke peringkat akhir bukan calang-calang dengan Ford Bronco dan Ferrari Purosangue masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Prius memperolehi markah sebanyak 302 mata, Bronco 297 mata dan Purosangue 285 mata. Lagi model yang tersenarai ke peringkat akhir ialah Volvo EX30 dan Zeekr X.

Anugerah utama World Car of the Year dimenangi Kia EV9 yang turut menjulang trofi World Electric Vehicle.

Anugerah World Car Award bermula pada 2023 dan model terpilih dinilai oleh 100 jurnalis automotif antarabangsa dari 29 buah negara. Keputusan undian turut melibatkan KPMG.

Kesemua model yang layak di dalam kategori lain disenaraikan secara automatik sebagai calon anugerah World Car Design of the Year.

Panel yang terdiri daripada enam pakar dari dunia reka bentuk diminta untuk menilai setiap model dan menyediakan senarai pendek bagi undian para juri.

Berikut enam ahli panel pakar:

  • Gert Hildebrand (Jerman – Pemilik, Hildebrand-Design), Patrick le Quément (Perancis – Pereka dan Presiden Jawatankuasa Strategi – The Sustainable Design School), Tom Matano (Amerika Syarikat – Academy of Art University, Bekas Ketua Reka Bentuk – Mazda)
  • Victor Nacif (Amerika Syarikat – Instruktor Reka Bentuk, NewSchool of Architecture and Design), Shiro Nakamura (Jepun – Ketua Pegawai Eksekutif, Shiro Nakamura Design Associates Inc.) danFrank Stephenson (United Kingdom – Pengasas, Frank Stephenson Design)

Apa yang menarik tentang Prius ialah pada peringkat awal, Presiden Toyota, Akio Toyoda pernah mencadangkannya untuk dibangunkan sebagai sebuah teksi.

Kakitangan Toyota mempunyai pendapat berbeza dan akhirnya mereka memilih untuk membangunkan sebuah kereta yang bukan sahaja boleh digemari disebabkan faedah rasional malah pengalaman emosi.

Selepas melihat reka bentuk akhir Prius, Toyoda memberi reaksi; “That’s cool!”.

Google ads
Back to top button