Buletin

TOYOTA LAND CRUISER 250 SERIES TAMPIL LEBIH AGRESIF DENGAN AKSESORI DARIPADA JAOS, MODELLISTA DAN TOY FACTORY

Toyota Motor Corporation (Toyota) mengumumkan penambahan siri “250” untuk barisan Land Cruiser di Jepun selain, melancarkan model edisi khas ZX “First Edition” dan VX “First Edition”.

Menurut Toyota, model edisi khas ZX “First Edition” dan VX “First Edition” hanya terhad kepada sejumlah 8,000 unit sahaja.

Pelancaran pasaran Toyota Land Cruiser 250 Series di Jepun juga disertakan dengan senarai panjang pilihan selepas pasaran, membolehkan pemilik menyesuaikan SUV dalam pelbagai cara.

Selain aksesori tulen yang ditawarkan oleh Toyota, pembeli boleh mengubah suai bahagian luar dengan bantuan Jaos dan Modellista, atau menambah katil pada bahagian dalam menerusi kit perkhemahan Toy Factory.

Lebih menarik, aksesori baharu ini boleh ditempah sebagai pilihan yang dipasang oleh peniaga, walaupun Jaos, Modellista dan Toy Factory adalah penala bebas.

Jaos menyentuh bahagian lasak Land Cruiser seperti skid plate, bampar dengan unit lampu LED terbina, penambahan fender lebar, mudguard berwarna merah atau hitam serta set rim aloi Jaos Tribe Cross 18-inci, dikeluarkan oleh Enkei.

Sementara, Modellista menawarkan kemasan bampar depan dan belakang yang agresif, fender lebar, liang sisi seperti Defender, rim bersaiz 20 inci dengan balutan tayar all-terrain.

Bagi yang gemar melakukan aktiviti luar, Toy Factory menyediakan kit katil dengan empat unit kusyen serta kerangka kayu.

Untuk meningkatkan kepraktisan Land Cruiser, Toyota mempunyai beberapa pilihan tersendiri antaranya pemegang botol, tong sampah, dulang dalam untuk ruang penyimpanan pada konsol tengah dan kotak penyejukan premium.

Akhir sekali, jika but tidak cukup besar untuk kit anda, anda boleh memilih rak bumbung jenis rata Toyota yang berharga AS$1,210 (RM5,787).

GALERI:

Google ads
Back to top button