UMWT CATAT HASIL JUALAN 9,688 UNIT PADA MAC
UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) mencatatkan hasil jualan positif bagi bulan Mac, apabila berjaya menjual 9,688 unit merangkumi 9,471 unit model Toyota dan 217 unit Lexus.
Dalam tempoh tiga bulan pertama 2024, UMWT telah merekodkan jualan sebanyak 23,444 unit.
Selain itu, UMWT baru-baru ini telah bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan menyerahkan Toyota Mirai.
Menurut Presiden UMWT, Datuk K Ravindran, inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen terhadap neutraliti karbon, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) negara.
“Penyerahan Toyota Mirai bertujuan untuk menyokong dan menunjukkan daya maju, kecekapan dan menguna pakai penyelesaian mobiliti berkuasa hidrogen untuk negara,” katanya.
Dalam sektor komersial, UMWT turut memperkenalkan Toyota HiAce Panel Van 3.0L serba baharu.
Model berkenaan menetapkan standard baharu dalam segmen kenderaan komersial dengan ciri terbaik termasuk panjang muatan 2,900mm.
Secara mekanikal, Toyota HiAce Panel Van 3.0L baharu dijana oleh enjin turbo-diesel 3.0 liter, menghasilkan 136PS dan tork 300Nm.
Turut diumumkan baru-baru ini ialah Toyota HiAce Super Long Wheelbase (SLWB), menawarkan peningkatan saiz untuk ruang dalaman, memberikan lebih keselesaan kepada penumpang dan kargo.
Dilengkapi dengan enjin turbo-diesel berkuasa 2.7 liter, HiAce SLWB berupaya menghamburkan 177PS dan tork 450Nm.
Untuk harga pula, Toyota HiAce Super Long Wheelbase (SLWB) boleh dimiliki pada harga bermula RM169,000.
- BACA: PETRON MALAYSIA KERJASAMA DENGAN JPJ, PDRM, LANCAR KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA
- BACA: 53 PELAJAR UPNM DARI SABAH, SARAWAK BALIK RAYA NAIK PESAWAT TUDM
- BACA: CATL LANCAR BATERI BARU, JAMINAN 15 TAHUN DAN 1.5 JUTA KILOMETER PERJALANAN
- BACA: AMITEC LANCAR SUZUKI RAIDER R150i EDISI EWC1 – RM8,988