Buletin

“LEBIH BAIK BELI KREDIT EMISI DARIPADA MEMBAZIR BANGUNKAN KERETA ELEKTRIK” – CEO TOYOTA

Ketua Pegawai Eksekutif Toyota Amerika Utara, Ted Ogawa, menyatakan keyakinannya bahawa EV hanya akan membentuk 30 peratus daripada pasaran kenderaan baharu Amerika Syarikat pada tahun 2030.

Ogawa berkata, walaupun kerajaan Amerika Syarikat (AS) menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik, Toyota lebih suka memberi tumpuan kepada kenderaan hibrid, malah lebih gemar membeli kredit emisi daripada “membazirkan” banyak wang membangunkan kereta elektrik.

Toyota, mempunyai jualan hibrid terbesar dalam industri kereta, telah menggariskan strategi yang jelas.

“Syarikat lebih cenderung untuk membeli kredit bagi menutup jurang EPA daripada “membazir” wang pada Battery Electric Vehicles (BEV),” jelasnya.

“Ini merupakan strategi lebih berkesan dalam menghadapi keperluan peraturan yang berkaitan.”

Tambah beliau lagi, Toyota akan terus merancang produk berdasarkan permintaan pelanggan.

“Pendekatan kami adalah mengutamakan konsep “elektrifikasi” yang berbeza-beza, biasanya dalam bentuk hibrid dengan enjin pembakaran gas.

“Ini adalah manifestasi jelas akan komitmen syarikat terhadap pembangunan teknologi yang mengikut trend permintaan pasaran,” katanya.

Sebagai langkah proaktif, Toyota sedang melabur dalam infrastruktur berkaitan dengan EV, di mana Toyota telah mengumumkan pembinaan kompleks bateri bernilai AS$13.9 juta (RM65.9 juta) di North Carolina.

Selain itu, sejak tahun 2021, Toyota telah melabur sekitar AS$17 bilion (RM80 bilion) dalam operasi pembuatan di Amerika Syarikat, dengan fokus utama pada pengeluaran hibrid.

Ketika menjawab tentang cara menutup jurang antara cadangan peraturan dan produk Toyota yang ada, Ogawa menyatakan bahawa pembelian kredit adalah satu pilihan.

“Bagi syarikat, ini adalah langkah lebih bijak daripada melabur dalam teknologi BEV yang mungkin tidak sejajar dengan fokus pelanggan atau keberkesanan operasi.”

Toyota, walaupun mengakui bahawa mereka ketinggalan dalam bidang bateri jika dibandingkan dengan syarikat seperti Tesla, berusaha untuk mengejar dalam aspek produk dan ekosistem BEV.

Ini termasuklah usaha dalam bidang pengecasan rumah dan pengurusan tenaga, yang merupakan langkah penting dalam memperluas penggunaan EV.

Dengan strategi diatur secara cermat dan fokus, Toyota menunjukkan kesanggupan untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam landskap kenderaan elektrik yang kian berkembang.

Google ads
Back to top button