Artikel Pilihan

𝐊𝐈𝐓𝐀𝐁 𝐌𝐈𝐓𝐒𝐔𝐁𝐈𝐒𝐇𝐈 𝐋𝐀𝐍𝐂𝐄𝐑 𝐄𝐕𝐎𝐋𝐔𝐓𝐈𝐎𝐍 – 𝐉𝐈𝐋𝐈𝐃 𝟏

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Mitsubishi Lancer Evolution merupakan jentera sukan ikonik dari Jepun yang amat berpengaruh. Pengaruhnya bukan setakat nama semata-mata, jentera ini berjaya mengecap pelbagai anugerah dan kejuaraan sebagai bukti bahawa jentera ini merupakan jentera yang sangat hebat.

Hari ini kita akan mengupas lebih lanjut tentang permulaan era Mitsubishi Lancer Evolution bermula dengan model Mitsubishi Lancer Evolution I.

𝐒𝐄𝐉𝐀𝐑𝐀𝐇

Sejarah pembangunan jentera ini ialah jentera ini merupakan kesinambungan kepada jentera Mitsubishi Galant VR-4.

Apabila pihak FIA memutuskan untuk memansuhkan kategori “Group B”, ia memaksa pasukan bertanding untuk mencari jalan bagi membolehkan mereka bersaing di kategori “Group A”. Disebabkan hal ini, pihak Mitsubishi memutuskan untuk menggunakan cesi Mitsubishi Galant VR-4 daripada keluarga Galant generasi ke-6 sebagai jentera perang mereka.

Pihak FIA meletakkan syarat jentera yang digunakan hendaklah melepasi syarat homoglasi dimana jumlah jualan jentera ini perlu melepasi 5,000 unit. Oleh itu, pihak Mitsubishi turut menjual jentera ini di pasaran Amerika Utara bagi membolehkan syarat ini dipenuhi.

Jentera ini dilengkapi dengan enjin ikonik 4G63T yang menghamburkan kuasa sekitar 237hp dan daya kilas sekiat 304Nm. Jentera ini juga menerima sistem pacuan semua roda berprestasi tinggi yang dikenali sebagai “Dynamic Four”. Sistem ini menggunakan “Center Differential” yang dilengkapi dengan “Viscous Coupling” yang beroperasi dengan menggunakan tekanan cecair. Sistem ini merupakan pelopor kepada sistem “Mitsubishi AWC” yang dilengkapi pada Lancer Evolution.

Tidak cukup dengan itu, jentera ini dilengkapi dengan sistem “Four Wheel Steering”, “Four Independent Suspension” merangkumi sistem “McPherson Strut” pada bahagian hadapan dan “Multilink” pada bahagian belakang dan yang terakhir “Four Wheel ABS System” yang merupakan teknologi termaju ketika itu. Tahun 1987 Tuan-Tuan, memang paling maju lah sistem ini ketika itu.

Habis cerita pasal Galant VR-4.

Kenapa perlu trivia pasal VR-4 ? Hal ini kerana Mitsubishi Lancer Evolution I lahir disebabkan kejayaan Mitsubishi Galant VR-4. Walaupun mengecap kejayaan di “World Rally Championship”, pihak Mitsubishi dan juga pasukan lain sedar bahawa jentera perang mereka terlalu besar, berat dan tidak selamanya relevan. Pasukan lain seperti Ford menukar jentera mereka dari Sierra/Sapphire Cosworth kepada Ford Escort Cosworth, Toyota Celica kepada Toyota Corolla, Subaru Legacy kepada Subaru Impreza.

Mitsubishi Lancer generasi ke-5 lahir pada tahun 1991. Disebabkan pihak Mitsubishi mahu menukar jentera WRC mereka kepada model yang baru, mereka memutuskan untuk menggunakan cesi Mitsubishi Lancer dari generasi ke-5 ini. Syarat utama bagi bertanding di kategori “FIA Group A” ialah jentera homoglasi perlu mencapai jumlah produksi sekurang-kurangnya 2,500 unit setahun.

Pada tahun 1992, pihak Mitsubishi melancarkan Mitsubishi Lancer Evolution I. Maka secara rasminya menamatkan era Mitsubishi Galant VR-4 di kejohanan WRC dan bermulanya era baharu Mitsubishi Lancer Evolution. Sebanyak 2,500 unit produksi homoglasi jentera ini habis dijual pada hari pelancarannya. Nampak tak ? Kuat tak kuat jenama Mitsubishi ni. Belum masuk WRC lagi tu. Tetapi disebabkan legasi yang ditinggalkan oleh Mitsubishi Galant VR-4 sangat mendalam.

𝐂𝐄𝐒𝐈

Sekarang kita pergi lebih dalam tentang jentera ini bermula dengan cesi. Cesi jentera ini diambil dari model Mitsubishi Lancer generasi ke-5. Namun begitu, ianya tidak sama sama sekali. Cesi model Lancer Evolution I lebih tegar berbanding dengan model Lancer. Perbezaan ketegaran ini ialah sehingga 50% lebih tegar. Ia dibuat begitu bagi membolehkan cesi ini menampung kuasa yang kuat oleh enjin dan selamat ketika dipandu secara ekstrem. Jentera “Rally” Tuan-Tuan, perlumbaan paling ekstrem. Bukan untuk di “Show Off” di “Autoshow” atau lepak di dataran.

Di samping itu, penggunaan komponen Alumunium pada badan kenderaan seperti bonet hadapan membuatkan cesi jentera ini lebih ringan. Lebih kuat namun lebih ringan. Bukan senang nak buat.

Disebabkan perbezaan ini, jentera ini menerima kod cesi yang berlainan dimana ia dikenali dengan kod CD9A. Kod cesi Lancer generasi ke-5 ada banyak bermula dari CA1A sehinggalah ke CD5A. Dari sini, mudah untuk kita mengenalpasti model jentera ini iaitu melalui kod cesi.

Jadi, selain kod CD9A, ianya bukanlah sebuah Mitsubishi Lancer Evolution I tulen melainkan kacukan semata-mata.

𝐒𝐔𝐒𝐏𝐄𝐍𝐒𝐈

Jentera ini dilengkapi dengan sistem suspensi jenis “McPherson Strut” pada bahagian hadapan dan “Multilink” pada bahagian belakang.

Walaupun konsep sistem suspensi jentera ini hampir sama dengan adik-beradiknya di dalam keluarga Lancer, namun pihak Mitsubishi menaiktaraf sistem suspensi ini untuk menjadikannya lebih jitu bagi memastikan pengendalian berada di tahap yang terbaik ketika pemanduan ekstrem. Hal ini bermakna aspek keselesaan sedikit terkorban.

Disebabkan geometri “McPherson Strut” dan juga “Multilink” yang merupakan sistem gantungan bebas, ia membolehkan penalaan pada “Toe”, “Camber” dan “Caster” dilakukan dengan lebih mudah dan tepat.

𝐄𝐍𝐉𝐈𝐍

Sekarang kita pergi pula kepada jantung jentera ini iaitu enjinnya.

Jentera ini dilengkapi dengan enjin berkod 4G63T bersesaran 1,997cc(2.0L). Enjin ini merupakan enjin 4 silinder sebaris dan dilengkapi dengan pengecas turbo.

Dah baca tentang enjin 4G63T yang dilengkapi pada Mitsubishi Galant VR-4 diatas tadi kan ?

Pihak Mitsubishi mengambil langkah bijak apabila menyumbatkan keseluruhan sistem enjin dan juga transmisi dari Mitsubishi Galant VR-4 ke dalam cesi Mitsubishi Lancer Evolution I ini.

Tiada masa nak R&D dah. Sumbat terus.

Bila dah masuk, pihak Mitsubishi menala semula enjin ini dan hasilnya enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 244hp pada 6,000rpm dan daya kilas sekuat 309Nm pada 3,000rpm.

Lebih kuat dan berkuasa daripada Mitsubishi Galant VR-4 dan ianya pada cesi yang lebih ringan !

Enjin ini kemudian dipadankan bersama kotak gear 5-kelajuan. Nisbahnya adalah seperti berikut :-

Gear 1 – 2.571
Gear 2 – 1.600
Gear 3 – 1.160
Gear 4 – 0.862
Gear 5 – 0.617
Front Diff – 4.266
Transfer – 1.09
Rear Diff – 3.909

𝐕𝐀𝐑𝐈𝐀𝐍

Mitsubishi Lancer Evolution I mempunyai dua varian iaitu varian GSR dan juga RS. Untuk varian GSR, ia dilengkapi dengan sistem seperti berikut :-

  • Set kerusi Recaro
  • Roda Stering Momo
  • Sistem ABS
  • Sistem “Power Window”
  • Sistem “Audio 6-Speaker”
  • Sistem Pendingin Hawa

Kesemua sistem ini dipasang pada varian GSR kerana varian ini lebih fokus untuk pasaran. Bermakna varian ini menjadi pilihan pembeli untuk dibawa di atas jalanraya dan bukannya trek rali.

Varian RS pula lebih mudah. Apa jua sistem tambahan yang ada pada varian GSR dinyahkan dari varian RS. Pembuangan semua sistem ini menyebabkan berat varian RS berkurang sebanyak 70kg berbanding varian GSR. Bukan itu sahaja, rim “Alloy” pada varian GSR juga dibuang dan digantikan dengan rim kompang !

Jadi Tuan-Tuan. Ini lah sedikit sebanyak info yang saya dapat kongsikan berkenaan Mitsubishi Lancer Evolution I. Kita akan kembali ke episod seterusnya di Jilid 2.

Google ads
Back to top button