Artikel Pilihan

10 PENAMAT PERLUMBAAN F1 YANG PELIK DAN MEMALUKAN.

Gagal menamatkan perlumbaan dalam F1 adalah perkara biasa. Dalam masa 2 saat pelbagai perkara yang boleh berlaku dari kegagalan mekanikal, perubahan cuaca dan juga kemalangan yang terjadi menyebabkan pemandu dan pasukan gagal menamatkan perlumbaan dan mengutip sebarang mata.

Tapi tahukah anda bahawa banyak lagi kejadian pelik yang menyebabkan pemandu gagal menghabiskan perlumbaan. Walaupun kedengaran agak pelik, tapi anda boleh nilaikan sendiri kejadian tersebut dalam senarai yang pernah terjadi dalam sejarah perlumbaan di bawah.

1. 2005, China Grand Prix – merupakan waktu yang getir bagi pasukan West McLaren bagi merebut kejuaraan antara Ferrari dan juga Renault. Perlumbaan ini sangat penting bagi merebut mata antara ketiga-tiga pasukan, malangnya sewaktu perlumbaan jentera yang dipandu oleh Juan Pablo Montoya terlanggar penutup longkang di tepi litar.

Penutup longkang yang dihasilkan daripada besi dengan saiz 18×9 inci dan berat mencecah 20kg ini hanya dipegang oleh klip plastik pada kedudukannya. Setelah beberapa jentera F1 melaluinya, penutup longkang ini terjungkit sebelum dilanggar oleh McLaren.

Ia menyebabkan tayar depan kanan pancit, tayar belakang kanan pancit, sistem radiotor bocor dan menyebabkan McLaren gagal menamatkan perlumbaan. FIA mengubah regulasi berkenaan penutup longkang dan meminta ia dikimpal terus untuk semua litar yang lain.

2. 2010, GP Monaco – malang sekali lagi menimpa pasukan McLaren apabila pemandu mereka iaitu Jenson Button gagal menamatkan perlumbaan apabila seorang mekanik terlupa membuka penutup corong penyejuk. Penutup ini digunakan ketika jentera diparkir dalam garaj dan perlu dibuka ketika perlumbaan.

Apabila jentera memulakan perlumbaan, pasukan McLaren menyedari masalah ini namun gagal berbuat apa-apa kecuali ketika Jenson masuk ke pit semula. Masalah mula timbul apabila kereta keselamatan masuk akibat kemalangan, menyebabkan jentera dipandu perlahan dan kurang udara masuk untuk penyejukan

Jenson Button gagal menyedari masalah ini dan menyebabkan jentera ini menjadi panas, berasap, mengalami kegagalan mekanikal dan gagal menamatkan perlumbaan.

3. 2004, GP Suzuka – jentera Jaguar yang dipandu oleh Mark Webber mengalami masalah yang sangat pelik dimana tempat duduknya menjadi semakin panas sepanjang perlumbaan berlangsung. Menyedari masalah berlaku, Webber masuk ke pit dan mengarahkan mekanik menyimbah air pada tempat duduknya sebelum meneruskan perlumbaan

Webber cuba bertahan seberapa lama boleh sebelum merasakan punggungnya dipanggang hidup-hidup dan perlu menamatkan perlumbaan akibat tidak tahan lagi sakit. Ini kelakar bang, terpaksa berhenti sebab panas. Siasatan mendapati cesi Jaguar ini terbuka sedikit di bahagian bawah menyebabkan udara panas masuk dan memasak telur Mark Webber separuh masak.

4. 1998, GP Monza – sekali lagi isu kesilapan mekanik terjadi tapi pada pasukan Petronas Sauber dimana mekanik ini telah secara tidak sengaja tertinggal sepana dalam jentera F1. Masalah ini disedari oleh Johnny Herbert pada pusingan ke 13 namun ia sudah terlambat.

Sepana tersebut telah tersangkut pada pedal brek, menyebabkan Herbert gagal membrek di selekoh dan terbabas sekaligus menamatkan perlumbaan. Cuba teka sepana tu saiz berapa? Ntah kami pun tak tau

5. 2007, GP Australia – jentera pasukan Spykers yang dipandu oleh Christijan Albers mengalami masalah yang susah diterima akal iaitu kabel untuk sistem komunikasi radio telah terlucut dari topi keledar dan terbelit dengan tali pinggang keselamatan yang dipakai sehingga mengganggu fokus pemanduan.

Ketika cuba menyelesaikan masalah tersebut, Albers terlepas poin untuk membrek sejauh 30 meter dan menyebabkan jenteranya terbabas di atas batu kerikil. Kejadian lain paling memalukan bila Albers terpaksa menamatkan perlumbaan di French GP apabila membawa lari hos minyak ketika berlumba

Tapi mamat dari Belanda ini tak power pun, paling power kedudukan nombor 5 di GP US 2005 dengan 6 pemandu saja yang berlumba.

6. 2004, GP British – ok masalah misteri ini berlaku pada pasukan Toyota ketika pusingan 17 dimana sistem pencegah kebakaran dalam jentera ini tiba-tiba meletup dan membebaskan buih yang sepatutnya hanya diaktifkan ketika jentera terbakar sahaja.

Keadaan ini menyebabkan buih tadi menutup topi keledar Olivier Panis, tersembur pada stering dan kesemua bahagian kokpit menyebabkannya gagal mengawal kereta lagi. Terlalu awal bagi Panis memulakan parti buih.

7. 2008. GP Canada – jentera yang dipandu oleh Adrian Sutil mengalami masalah kegagalan kotak gear, terbabas dan terbakar menyebabkan beberapa jentera mengambil peluang untuk masuk ke pit ketika kereta keselamatan dikerah masuk. Ia dimulakan oleh Lewis, Kimi dan juga Kubica.

Kimi memulakan semula perlumbaan selepas selesai pengisian tapi ketika memasuki litar, jenteranya berselisih dengan Kubica tapi ketika itu lampu merah dinyalakan menandakan mereka tidak boleh memasuki litar. Ini menyebabkan Kimi dan Kubica berhenti sebelah menyebelah.

Lewis yang gagal menyedari lampu merah terus merempuh belakang Kimi diikuti oleh Nico Rosberg melanggar belakang Lewis. Kimi, Lewis dan Nico gagal berlumba manakala Robert Kubica terlepas dari insiden ini. Biasala kemalangan di lampu merah, di litar pun berlaku. Tapi ini pelik, dalam pit pun boleh kemalangan.

8. GP Australia 1997 – Jean Alesi dari pasukan Benetton terlalu tekad untuk mengekalkan kedudukan nombor 2 pada perlumbaan pembuka musim 1997 di Australia telah mengabaikan arahan mekanik untuk masuk dan mengisi semula bahan api dan meneruskan perlumbaan selama 5 pusingan sebelum kehabisan bahan api.

Jean mendakwa sistem radionya telah rosak dan gagal dihubungi sepanjang perlumbaan serta tidak tahu keadaan bekalan petrol telah hampir habis. Situasi yang sama juga dihadapi oleh Senna di GP British 1991 dimana Senna menggunakan strategi bahan api minima untuk berlumba pada pusingan akhir tapi bernasib baik kerana mendapat nombor empat.

9. GP Italy, 1995 – Gerhard Berger yang ketika itu menjadi pelumba Ferrari telah mengalami kemalangan pelik apabila jentera Ferrari yang dipandunya terlanggar kamera yang dipasang pada Jean Alesi telah tertanggal. Berger melanggar kamera tersebut dan merosakkan sistem suspensi jenteranya dengan serta merta

Lebih malang lagi apabila kamera tersebut dipasang pada jentera rakan sepasukannya iaitu Jean Alesi dari Ferrari yang juga terpaksa menamatkan perlumbaan beberapa pusingan kemudian akibat kerosakan mekanikal pada bahagian belakang jentera.

10. GP German, 1977 – ketika fokus media pada persaingan Niki Lauda dan juga James Hunt, terdapat satu lagi watak kelakar iaitu pelumba daripada German yang bernama Hans Heyer. Hans cuba memulakan karier dalam perlumbaan F2 namun nasib, bakat dan juga peluangnya adalah terhad.

Cubaan pertama Hans menyertai F1 adalah ketika GP Jerman pada tahun 1977 namun catatan masa 1.58,57 kelayakannya sangat teruk sehingga dia diletakkan dalam senarai menunggu. Hans bersama pasukan ATS Penske Ford hanya boleh berlumba jika ada pelumba lain mengalami kemalangan atau gagal memulakan perlumbaan

Tapi Hans memulakan perlumbaan senyap dan haram dari garaj pitstop tanpa ada sesiapa pun pegawai FIA menyedari kehadirannya dalam litar. Hanya apabila kotak gearnya rosak pada pusingan ke 10 barulah kehadirannya disedari oleh petugas FIA

Hans mendapat 3 klasifikasi perlumbaan iaitu DNQ (Did Not Qualified), Did Not Finish (DNF) dan Disqualified (DSQ) dalam satu perlumbaan dan diharamkan seumur hidup dari menyertai perlumbaan F1. Memang kartun la dia ni

Ya inilah dia 10 kejadian dimana pemandu F1 gagal menamatkan perlumbaan dalam karier mereka disebabkan oleh masalah teknikal remeh temeh. Ia boleh terjadi pada mana-mana pasukan baik Ferarri, McLaren mahupun pasukan kecil yang lain.

Google ads
Back to top button