Buletin

KEN BLOCK KINI BERSAMA AUDI! BUAT PROJEK MOBILITI ELEKTRIK

Di dalam dunia permotoran sekarang memang ramai hero dan jagoan terkenal. Salah satu daripadanya ialah Ken Block yang masyhur sebagai pelumba rali dan aksi hebat di dalam video permotoran.

Ikon berusia 53 tahun itu terlibat di dalam dunia rali dan rallycross sejak tahun 2005 lagi.

Ken Block pernah berlumba di dalam Kejuaraan Dunia FIA Rallycross, ERX Supercar, Global RallyCross, Rally America dan Kejuaraan Rali Dunia (WRC). 

Selain dunia perlumbaan, beliau juga hebat di dalam bidang perniagaan dan pengasas bersama dua jenama pakaian sukan dan permotoran. 

Ken Block (Hoonigan Racing Division) sinonim dengan jenama Ford (Performance) dan telah bersama selama 11 tahun sebelum berpisah pada Januari 2021.

Pada April Ken Block mengumumkan penggunaan jentera Subaru di dalam Kejuaraan Persatuan Rali Amerika (ARA). 

Bersama pasukan Hoonigan Racing Division beliau menggunakan WRX STI yang dibina oleh Vermont Sportscar.

Apa lagi perkembangan terbaru Ken Block? Pada September 2021, Ken Block dan Audi mengumumkan satu kerjasama eksklusif di dalam bidang mobiliti elektrik.

Ini sesuatu yang berbeza dari dunia Ken Block sebelum ini yang penuh dengan sensasi enjin bernadikan pengecas turbo.

Kerjasama ini bukan sesuatu yang janggal kerana Audi memahat sejarah tersendiri di dalam perlumbaan rali.

Ken Block masih remaja pada masa teknologi pacuan Quattro Audi melanda WRC dan jentera Audi Sport quattro S1 memenangi dan mencatatkan rekod perlumbaan Pikes Peak di Amerika Syarikat.

Jentera quattro tersebut merangsang Ken Block untuk menjadi pelumba rali. Bukan sahaja beliau, jentera quattro turut berjaya menarik ramai peminat sehingga ke hari ini.

Apa lagi yang menarik? Semasa lawatan pertama ke Audi beliau diberi peluang untuk memandu model legenda Audi Sport quattro S1 dan model perlumbaan DTM Audi V8 quattro.

Beliau juga juga diberi peluang memandu model futuristik Audi e-tron Vision Gran Turismo.

Tidak dilupakan, peluang untuk memandu Audi RS e-tron GT yang merupakan kereta elektrik paling laju dari Audi dan dijual di pasaran.

Jadinya tak ada lah projek kereta rali atau penyertaan semula Audi ke dalam WRC?

Sesuatu yang menarik apabila Ken Block telah pun menjejakkan kaki dengan menguji dan berlumba di dalam beberapa kereta elektrik.

Beliau merekodkan masa ketiga terpantas di peringkat akhir Rali Dakar 2020 menggunakan model prototaip dan memenangi siri rallycross Projekt E di Höljes, Sweden pada tahun yang sama.

Masa telah berubah dan menurut Ken Block, beliau sendiri percayakan teknologi kereta elektrik dapat menjadikan dunia lebih baik selain mempunyai prestasi tinggi.

Beliau juga memaklumkan anaknya sendiri merasakan bunyi kereta elektrik sama cool sepert enjin pembakaran dalaman.

Dari sini kita boleh lihat bagaimana Audi mahu melonjakkan kereta elektrik sama seperti teknologi quattro berjaya memikat hati ramai satu ketika dahulu dan sinergi dari Ken Block dilihat sesuatu yang ideal!

BACA: AUDI S3 2021, KENAPA SEGAK SANGAT? 310PS DAN 400NM!

BACA: INI BUKAN AUDI BIASA, INI e-tron, GUNA KUASA ELEKTRIK

BACA: CENGKAMAN QUATTRO, 40 TAHUN AWD AUDI DAN IKON DUNIA RALI

Google ads
Back to top button