
10 PERKARA YANG KITA TAHU PASAL HONDA CIVIC e:HEV RS
Nampaknya Honda Malaysia mengorak langkah dengan lebih agresif bagi memasarkan lebih banyak kenderaan yang mesra alam. Untuk perkembangan terbaru, Honda Malaysia telah menyiarkan satu kempen bagi pembeli yang berminat untuk mendapatkan Honda Civic e:HEV RS.
Model Civic e:HEV ini akan menyertai barisan model dengan trenkuasa hibrid yang lain yang dipasarkan oleh Honda Malaysia seperti City Sedan e:HEV, City Hatchback e:HEV, dan juga HR-V e:HEV. Namun berbeza dengan versi sebelum ini, Civic e:HEV tampil dengan trenkuasa yang lebih berkuasa.
1. Jika model City Sedan, City Hatcback dan HR-V menggunakan enjin 1500cc silinder, model Civic e:HEV tampil dengan enjin yang lebih berkuasa. Enjin 4 silinder 2000cc ini menjana sehingga 140 kuasa kuda pada 6000 RPM dan tork setinggi 182Nm pada 4500 RPM.
2. Sama seperti barisa e:HEV yang lain, enjin ini akan bertindak mengecaj bateri ion lithium dengan menggunakan satu motor elektrik. Satu lagi motor elektrik akan menggunakan tenaga elektrik yang tersimpan dalam bateri bagi menjana 181 kuasa kuda pada 5000 RPM dan 315Nm tork dari 0 -2000 RPM.

3. Disebabkan sistem ini menjana tork yang tinggi seawal 0 RPM, maka ia tidak memerlukan sistem gear. Tork yang tinggi akan memacu kereta dalam mode elektrik dengan mudah. Walaubagaimanapun, bagi meningkatkan kecekapan operasi sistem, enjin akan disambung pada tayar dengan gear tunggal pada halaju yang tinggi, bersamaan gear 6 bagi transmisi manual
4. Sistem hibrid e:HEV ini menyebabkan berat Civic e:HEV bertambah sebanyak 110kg berdasarkan spesifikasi Civic e:HEV yang dipasarka di Thailand jika dibandingkan dengan varian 1.5 turbo. Ia masih diberikan tangki petrol sebesar 40 liter (47 liter untuk Turbo) dan ruang kargo kekal 497 liter dengan mengorbankan tayar simpanan
5. Sistem ini membolehkan Civic e:HEV memberikan bacaan purata sekitar 25km bagi setiap liter petrol. Sebagai perbandingan City e:HEV memberikan bacaan 26.5km bagi setiap liter petrol manakala Honda HR-V e:HEV pula ialah 25.6km bagi setiap liter.

6. Disebabkan ia menggunakan lencana RS, maka kita boleh meneka bahawa Civic e:HEV akan menggunakan rekaan yang lebih bergaya dan kemas seperti rim 18 inci dengan rekaan berbeza serta kemasan 2 tona, spoiler ekor itik berwarna hitam, cermin sisi warna gelap, lampu depan dengan perumah digelapkan dan diberi kemasan krom serta lampu belakang yang lebih gelap.
7. Terdapat 3 mode pemanduan yang boleh dipilih seperti Sport untuk pemanduan agresif, Normal bagi pemanduan biasa dan juga ECON untuk memaksimakan penggunaan bateri lithium ion ketika memandu.
8. Bagi pasaran Thailand, Civic e:HEV dipasang dengan Collision Mitigation Braking System, Adaptive Cruise Control dengan Low Speed Follow, Lane Keep Assist, Auto High Beam, dan juga Lead Car Departure Notification System yang terbina dalam sistem Honda Sensing

9. Untuk keselesaan penumpang, Civic e;HEV akan datang dengan Honda Smart Key Card selain 2 kunci keyless, pengecaj tanpa wayar, sistem multimedia dengan skrin sebesar 9 inci, sambungan Apple Car Play dan Android Auto, paparan meter 10.2 inci, corong penyaman udara untuk penumpang belakang, 2 poin USB untuk penumpang belakang dan kusyen boleh dilipat dalam ratio 40:60
10. Di Thailand, terdapat 2 varian Civic e:HEV yang dipasarkan samaada EL+ yang dijual dengan harga sekitar RM 142,000 dan juga RS dengan harga RM 158,000. Sebagai perbandingan, Honda Civic 1.5 Turbo RS bagi pasaran Malaysia dijual dengan harga RM 144,000.



