Buletin

TEMPAHAN HONDA CIVIC e:HEV RS KINI DIBUKA. ENJIN 2.0L, 184PS & 315NM, HONDA SENSING

Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk varian Civic e:HEV RS sudah dibuka. Ia menjadi varian e:HEV pertama dengan enjin 2.0 liter dalam keluarga Civic di pasaran Malaysia. 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura memberitahu Civic generasi ke-11 yang dilancarkan pada awal tahun ini menerima maklum balas positif daripada pengguna. Dalam tempoh Januari hingga September 2022, lebih 6,00 unit Civic telah terjual. 

“Bagi mengukuhkan lagi kehadiran Civic di pasaran, kami teruja untuk memperkenalkan varian baharu yang pertama kali ditawarkan dengan enjin 2.0L e:HEV.  Selari dengan DNA Civic, e:HEV RS menjanjikan pengalaman pemanduan yang mengujakan dan gayaan elegan.

“Kami percaya pengenalan model ini akan meningkatkan lagi minat orang ramai terhadap sedan segmen C,” kata Yoshimura. 

Rangkaian kuasa 2.0L e:HEV mampu menjana 184PS dan tork mencecah 315Nm. Kuasa tersebut disalurkan ke roda menerusi kotak gear e-CVT. Manakala Intelligent Power Unit (IPU) dikuasakan oleh bateri lithium-ion yang kompak dan ringan bersama keupayaan pengecasan serta storan yang efisien. 

Dari segi penampilan, Civic e:HEV RS tampil dengan bodykit RS bersama sedikit perbezaan. Antaranya ialah emblem H berwarna biru, kemasan krom pada gril hadapan dan rim dua tona bersaiz 18 inci. Bahagian belakang pula dibezakan dengan satu corong ekzos berbanding dua pada varian RS. 

Masuk ke ruang kabin, penambahan ciri yang ada termasuklah ketersambungan Apple CarPlay tanpa wayar, kawalan pendingin hawa dua zon, pengecas tanpa wayar dan banyak lagi.  

Bukan itu sahaja, sedan yang memang menarik perhatian itu dilengkapi sistem keselamatan Honda SENSING yang terdiri daripada ciri: 

  • Lead Car Departure Notification System (LCDN)
  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Low Speed Follow (LSF)
  • Collision Mitigation Braking System (CMBS)
  • Forward Collision Warning (FCW)
  • Lane Keep Assist System (LKAS)
  • Road Departure Mitigation (RDM)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Auto High Beam (AHB)

Pelanggan boleh membuat tempahan di pautan prebook.honda.com.my atau muat turun aplikasi HondaTouch. Mereka juga boleh mengunjungi mana-mana bilik pameran Honda, hubungi talian 1-800-88-2020 atau layari laman web: www.honda.com.my 

GALERI

Google ads
Back to top button