BuletinMotosikal

15 TAHUN DALAM KANCAH PERLUMBAAN, FAZLI BUKTIKAN USIA BUKAN HALANGAN

Menjelang pusingan pembukaan musim 2018, Ahmad Fazli Sham tekad membuktikan usia bukan halangan kepadanya untuk terus mencipta kejayaan dalam saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Tangkak, Johor pada 31 Mac dan 1 April ini.

Bagaimanapun, pelumba paling senior di dalam kelas perdana CP150 itu tidak lagi bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor sebaliknya berhijrah bersama pasukan OneXOX TKKR Racing dan akan bergandingan bersama Khairul Ikhwan Ajis dan Mohd Hafiza Rofa.

BACA: CUBPRIX 2018 BUKA TIRAI DI TANGKAK

Meskipun sudah menceburkan diri selama lebih 15 tahun di dalam Kejuaraan Cub Prix, pelumba berusia 36 tahun itu percaya belum masanya untuk berundur dan kudratnya juga masih mampu untuk memberikan saingan kepada barisan pelumba lebih muda dan pantas pada hari ini.

“Memang tidak dapat dinafikan, kemampuan saya mungkin tidak seperti dulu, tetapi dengan pengalaman yang ada, rasanya tidak ada masalah untuk saya memberikan saingan di kelompok depan. Pasukan tidak meletak sebarang sasaran tinggi kepada saya, namun saya akan tetap memberikan yang terbaik pada setiap perlumbaan,” ujar juara Expert 2007 dan 2008 itu.

Tambahnya, “Cuma mungkin fokus saya sedikit berbeza. Saya tidak terlalu memberi tumpuan untuk mengejar kemenangan seperti sebelum ini, sebaliknya pada masa sama saya mahu membantu pasukan untuk mendapatkan pelarasan jentera terbaik dan memberi tunjuk ajar kepada pelumba-pelumba lain.

“Banyak kejayaan yang dah dicapai selama ini. Saya juga merupakan antara pelumba yang sempat bersaing dengan semua generasi pelumba sepanjang 25 tahun penganjuran Cub Prix. Pengalaman itu perlu dicurahkan kepada generasi muda hari ini.”

Sejarah Fazli bermula seawal tahun 2001 sebelum dilamar pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pada tahun 2003. Sepanjang kariernya, Fazli hanya pernah berpindah ke pasukan Pennzoil Fastrac Racing pada 2011 sebelum kembali ke pangkuan Maju Motor pada tahun berikutnya.

Kemuncak karier Fazli apabila bergelar juara Expert pada tahun 2007 dan 2008 selain pernah menyertai Program Wildcard Malaysia pada tahun 2009.

Fazli memegang rekod pelumba yang paling banyak memenangi perlumbaan kelas perdana (Expert, CP130 dan CP150) iaitu sebanyak 21 kemenangan.

Google ads
Back to top button