Buletin

200K MODEL VW R DIHASILKAN SEJAK 2002, DI MALAYSIA PUN ADA JUAL

Dalam banyak-banyak model Volkswagen, sila beri perhatian lebih jika anda terserempak dengan model yang mempunyai logo R pada gril. Ini bukan model sembarangan kerana huruf R itu bermaksud racing dan ia adalah edisi prestasi keluaran VW.

Volkswagen R GmbH ditubuhkan pada tahun 2002 dan sejak itu telah menghasilkan 200,000 unit model-model khas. R kini membawa maksud prestasi, sport dan emosi.

Volkswagen R sebenarnya adalah unit kecil di dalam VW dengan 350 orang pekerja. Ia bermula dengan Volkswagen Individual dan dijenamakan semula kepada Volkswagen R pada tahun 2011.

Model pertama keluaran unit ini ialah Volkswagen Golf R32.

Bagi meraikan pengeluaran ke 200,000, VW telah menyerahkan unit tersebut yang merupakan sebuah Golf R dengan Performance Pack dan sistem ekzos Akrapovič kepada seorang pelanggan di United Kingdom.

Pelanggan tersebut yang bernama Keith Williamson sememangnya adalah peminat tegar VW. Beliau mempunyai MkV Golf R32 dan MkVI Golf GTI dalam koleksi simpanannya.

Produksi model R bermula pada tahun 2002 dengan model Golf R32. Sejak itu, VW telah mengeluarkan tiga lagi Golf R dan menariknya tidak tertumpu kepada satu segmen sahaja.

Barisan model R terdiri daripada Passat R36, Touareg R50, Scirocco R, Golf R Convertible termasuklah Golf R Estate.

Golf R yang dipasarkan hari ini hadir dalam bentuk hatchback dan estate. Kedua-duanya menggunakan enjin 2.0 liter turbo dengan pacuan empat roda 4MOTION.

Satu tentang model R, perubahan kosmetiknya tidak menyerlah mana seperti Honda Civic Type R. Ia tampil sederhana dengan sedikit perubahan kosmetik dan ekstra pada perkakasan yang tidak nampak.

VW Golf R standard berkuasa 310PS dan tork puncak 400Nm. Kelajuan dari 0 km/j hingga 100 km/j pula hanya mengambil masa 4.6 saat.

Jika berminat, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) ada memasarkan unit istimewa tiga pintu Golf R sebanyak sepuluh unit sahaja. 

Harganya? RM268,888 sahaja. Yang lebih rendah pun ada iaitu Golf R-Line pada harga RM166,990 seunit.

Google ads
Back to top button