Buletin

2018 JADI TAHUN TERAKHIR MITSUBISHI LANCER DIJUAL DI AUSTRALIA

Mitsubishi Motors Australia baru-baru ini mengesahkan bahawa ia tidak lagi menjual sedan Mitsubishi Lancer di Australia mulai tahun depan.

Sedia maklum bahawa produksi Lancer sudahpun ditamatkan pada akhir tahun lalu, selepas lebih sedekad berada di pasaran. Hampir majoriti kilang tidak lagi menghasilkan Lancer kecuali kilang yang perlu membekalkan model tersebut ke Taiwan dan China.

Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Australia, John Signoriello menyatakan pihaknya berjaya mendapatkan stork terakhir Lancer dari Jepun untuk dijual sehingga hujung tahun ini.

Sebaik sahaja semua stok itu habis, Mitsubishi Motors Australia hanya akan menjual model-model penumpang konvensional iaitu Mirage, serta SUV seperti ASX, Outlander, Pajero dan Pajero Sport.

Jika dinilai dari segi perspektif perniagaan, langkah ini memang masuk akal. Tahun lalu, hanya 7,500 unit Lancer berjaya dijual, angka yang tidak lagi signifikan untuk dikekalkan.

Justeru, Mitsubishi Motors Australia kini memberi perhatian kepada segmen SUV. Mitsubishi menjadi jenama ketiga terbesar dari segi jualan SUV dengan hampir 48,000 unit.

Google ads
Back to top button