Buletin

HANTAR EMEL PELUANG KERJA DI TEMPAT LAIN, KESATUAN PEKERJA KECAM STELLANTIS 

Stellantis menerima kecaman daripada kesatuan pekerjanya kerana menghantar tawaran kerja, pautan pameran kerjaya dan tip-tip bagaimana untuk menghasilkan resume yang menarik. 

Langkah itu jelas membuatkan para pekerja rasa tidak dihargai kerana ia seolah-olah hendak mereka kerja di tempat lain. 

Jangkaan tentang berapa ramai yang akan kehilangan kerja apabila transisi pengeluaran kenderaan berenjin konvensional kepada EV yang lebih ringkas masih belum jelas. Namun keperluan jumlah pekerja yang lebih sedikit itu sudah pasti. 

Perkembangan itu memaksa pengeluar kenderaan untuk mengurangkan tenaga kerja masing-masing. Ia sememangnya satu keputusan yag sukar terutama di rantau Eropah Timur di mana para pekerja diwakili oleh kesatuan. Mungkin sebab itu Stellantis cuba menggalakkan pekerjanya untuk mencari kerja lain. 

Stellantis yang dibentuk hasil penggabungan konglomerat FCA dan Kumpulan PSA cuma melakukan usaha kecil, tetapi wakil kesatuan pekerja menuduh pihak pengurusan mengganggu dengan menghantar terlalu banyak emel. 

“Ini bukanlah cara yang betul untuk menaikkan motivasi pekerja dan bekerja bersungguh-sungguh demi syarikat,” kata wakil kesatuan CFDT, Christine Virassamy.  

Ketika ditanya tentang emel mencari kerja itu, kesatuan memberitahu mereka akan menolong pekerja yang berminat untuk menerima skim pemberhentian sukarela. 

Stellantis yang mempunyai 14 jenama kenderaan menggaji sekitar 300,000 orang pekerja di seluruh dunia, dengan 45,000 daripadanya bekerja di Perancis. Negara itu menganggarkan seramai 10,000 orang akan hilang kerja apabila industri automotif beralih kepada EV. 

Google ads
Back to top button