
GARA-GARA MAJLIS KAHWIN TEPI LANDASAN, KERETA API TERPAKSA PERLAHAN
Sebuah majlis perkahwinan di Surabaya, wilayah Jawa Timur menjadi perhatian apabila diadakan di tepi landasan kereta api.
Tarikan majlis berkenaan bukanlah kerana estetika tetapi menjadi bualan netizen gara-gara menyukarkan pergerakan tren.
Dalam video itu, kelihatan meja dan kerusi dihias dengan kain lapik berwarna merah jambu disusun di bahagian tepi landasan.

Tetamu undangan dilihat leka menikmati makanan dengan pelamin turut dihias di tepi landasan selain, jurugambar berdiri di seberang landasan untuk merakam gambar pengantin.
Tidak lama kemudian, sebuah kereta api menghampiri kawasan berkenaan dengan kelajuan perlahan bagi memastikan keselamatan tetamu majlis.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Inilah yang dikatakan sila pandu perlahan,” kata seorang netizen.
“Dekat dengan rumah saya. Memang selalunya kalau ada majlis, kereta api akan diperlahankan,” kata pengguna lain. – Kosmo Online