Buletin

CHINA DEDAH KERETA API LAJU BOLEH BEROPERASI DALAM SUHU SEJUK MELAMPAU

China baru-baru ini mendedahkan kepada umum kereta api berkelajuan tinggi terbaharunya mampu beroperasi dalam iklim sejuk melampau.

Kereta api model CR400AF-G itu boleh beroperasi pada kelajuan 350 kilometer sejam dalm persekitaran suhu di -40 darjah Celsius. Ia merupakan sebahagian daripada projek kereta api berkelajuan tinggi elektrik pelbagai unit yang dibangunkan oleh Kumpulan Kereta Api China.

Kereta api ini diuji dari Beijing pada 6 Januari lalu dengan menggunakan laluan berkelajuan tinggi. Ia menghubungkan bandar utama China dengan destinasi utara termasuklah bandar Shenyang dan Harbin yang terkenal dengan festival salji dan musim sejuk.

Bagaimanapun, masih belum ada tarikh rasmi untuk kereta api berkelajuan tinggi tanpa pemandu ini beroperasi dalam sistem perkhidmatan pengangkutan darat negara itu.

Berdasarkan kepada hantaran media sosial WeChat, Kumpulan Kereta Api Beijing China mula menguji beberapa komponen kereta api itu dalam keadaan cuaca sejuk melampau.

Ujian itu melibatkan pelbagai komponen seperti besi selak dibuat daripada aloi yang mampu bertahan dalam cuaca sejuk melampau. Selain lapisan silikon yang boleh menghalang salji daripada masuk ke dalam gerabak.

Ujian juga dijalankan terhadap sistem kawalan brek dan paip besi untuk peralatan pemanas.

Kereta api itu memiliki reka bentuk aerodinamik. Badannya dibina menggunakan aloi aluminium ringan bagi membantu mengurangkan penggunaan tenaga.

China Daily melaporkan Pengarah Kumpulan Kereta Api Beijing China, Zhou Song memberitahu sistem brek kereta api berkenaan mampu berfungsi walaupun berada di Harbin yang merupakan bandar paling sejuk di China.

“Sebelum ini, jika kereta api lain berhenti di Harbin selama sejam, sistem brek beku dengan mudah. Namun, sistem terbaharu ini mampu mengatasi masalah itu kerana boleh digerakkan walaupun kereta api berhenti,” katanya.  

China bukanlah satu-satunya negara yang memiliki kereta api berkelajuan tinggi. Jepun memiliki sistem pengangkutan sama yang tidak hanya boleh bergerak pantas dan lancar. Malah, sistem kereta api di Jepu boleh bergerak ketika dilanda gempa bumi.

Model N700S misalnya mampu bergerak pada kelajuan 360 kilometer sejam. Namun kini dihadkan kepada 285 kilometer sejam saja. Kereta api itu juga dinaik taraf dengan sistem kawalan brek automatik yang berupaya berhenti lebih cepat dalam keadaan kecemasan.

Kereta api yang beroperasi sejak 1 Julai lalu itu menghubungkan Stesen Tokyo dengan Stesen Shin-Osaka di Osaka. Bagaimanapun, China kini memiliki rangkaian kereta api berkelajuan tinggi terbesar di dunia dengan jarak keseluruhan melebihi 37,000 kilometer. – Harian Metro

Google ads
Back to top button