Artikel Pilihan

5 KERETA PROTON PALING BEST PERNAH DIHASILKAN

Sebelum terkenal dengan model terkini seperti Proton X70 dan yang terbaru Proton X50, model kereta Proton juga terkenal dengan power window yang bermasalah. Maaf, tersasul pulak. Ya Proton terkenal dengan beberapa model yang pernah dikeluarkan dan mendapat sambutan hangat dari pembeli pasaran tempatan dan juga antarabangsa

Ketika Proton ditubuhkan, idea asal telah dikemukakan oleh Tun Dr. Mahathir yang memiliki impian untuk mengubah Malaysia dari negara pertanian menjadi negara perindustrian. Kali ini kami akan menghuraikan beberapa model kereta Proton yang paling best dan kalau dijual dalam keadaan standard pun masih lagi mahal.

1. Proton Saga Aeroback Knight – dengan mendapat ilham dari siri television Knight Rider, Proton melancarkan satu model one-off yang menampilkan Proton Saga Aeroback, namun disumbat dengan enjin 1500cc berbanding dengan Aeroback biasa yang menggunakan enjin 1300cc. Enjin Magma 8V 4G15P ini menghasilkan hanya 76 kuasa kuda dan 5 kelajuan manual

Apa yang menarik ialah versi ini hadir dengan spoler ducktail serta pelekat badan khas untuk varian ini. Terdapat satu emblem Knight yang dipasang pada bahagian belakang yang sering menjadi buruan pencuri.

2. Proton Satria GTi – sebuah kereta yang menjadi dambaan anak muda di Malaysia satu ketika dulu. Apa yang membezakannya dengan Satria biasa ialah penggunaan enjin 1800cc yang menghasilkan 138 kuasa kuda, rekaan luar yang sporti dan bergaya, suspensi talaan Lotus, brek ABS, transmisi 5 kelajuan manual dan kusyen Recaro.

Pecutan yang dibuat ialah 8.5 saat dari 0-100km/j menjadikannya kereta Proton terpantas yang pernah dikeluarkan dari kilang Proton. Richard Hammond dari rancangan BBC Top Gear memuji kereta ini apabila ia dibandingkan dengan Peugeot 206GTi walaupun ia lebih mahal sebanyak 500 pound.

3. Proton Arena – ambil sebuah Wira dan kerat bahagian bumbung bagi menghasilkan ruang kargo yang luas seperti kenderaan pacuan 4 roda yang menggunakan cesi ladder frame. Model ini dijual antara tahun 2002-2009 merupakan model eksport yang amat digemari di pasaran Australia dimana mereka memerlukan sebuah kenderaan utiliti ringan tapi tak memerlukan kenderaan 4×4.

Di pasaran luar seperti UK dan Taiwan ia dikenali dengan nama Proton Jumbuck menggunakan enjin asal 1500cc SOHC manakala spring bahagian belakang menggunakan leaf spring khas untuk mengangkat muatan berat. Ala macam Subaru Brat. Cuba tengok berapa harga dia sekarang, menyesal tak beli 10 dulu.

4. Proton Wira 1.8 DOHC Limited Edition – merupakan sebuah kereta yang dihasilkan untuk memenuhi keperluan homologasi kerana waktu itu Proton menyertai perlumbaan rali WRC. Ia dilengkapkan dengan enjin 4G93P 1800cc DOHC 140 kuasa kuda, stering Momo dan GT wing setinggi tiang ragbi

Hanya 2500 unit sahaja dihasilkan dengan 2450 unit dihasilkan warna hitam dan selebihnya berwarna putih. Cesi ia menggunakan kod C99 yang dikongsi oleh 3 model iaitu Putra dan juga Satria GTi dimana ia menggunakan sambungan spot welding yang lebih banyak bagi ketegaran vesi yang lebih baik.

5. Proton Satria Neo Lotus Edition – merupakan kereta Proton yang paling mahal dihasilkan dengan harga RM 115,000 ketika dilancarkan dulu. Hanya 25 unit sahaja yang dikeluarkan dulu oleh divisi Proton R3 lengkap dengan pelbagai jajan yang mengiurkan. Bonet depan menggunakan gentian karbon dan fender dihasilkan dengan Fiber Reinforce Plastic.

Ration gear 1-4 telah ditala dengan berbeza, aci sesondol yang leboh agresif digunakan, airbox dari gentian karbon telah digunakan bagi menggantikan unit asal, penyerap hentakan Ohlins DFV dan brek dari unit AP Racing. Ia disudahkan dengan warna British Racing Green dan juga racing stripes berwarna hijau.

Google ads
Back to top button