;
Buletin

5 PEMOTONG RUMPUT MAUT DIREMPUH PEMANDU MALAYSIA DI SONGKHLA

Lima orang pemotong rumput maut, manakala seorang lagi parah apabila dirempuh kereta yang dipandu oleh rakyat Malaysia di Lebuhraya Asia di Khuhatai, Rattaphum dekat Songkhla, petang semalam.

Menurut laporan Bangkok Post, semua mangsa sedang berehat selepas memotong rumput di kawasan terbabit sebelum dirempuh Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang wanita.

Ketua Penyiasat Balai Polis Rattaphum Thewa Daoruang memberitahu, mangsa yang maut dikenali sebagai Chaikaew, 53; Witchaya Thongma, 51; Somporn Sawatdiraksa, 54; Theerawut Mongkhol, 37; dan Wirat Semkhai, 34, manakala Bamreur Ketmoon, 56, dilaporkan parah.

Kereta yang berkenaan dipandu wanita berusia 31 tahun dari Kelantan itu dinaiki oleh dua penumpang wanita lain, juga rakyat Malaysia.

Dalam kejadian 3 petang itu, ketiga-tiga mereka dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan. Mereka dikatakan dalam perjalanan dari Krabi menuju ke Hat Yai.

Pemandu wanita itu turut disoal siasat polis.

Hasil siasatan mendapati pemandu itu melanggar sesuatu yang mengakibatkan kenderaan hilang kawalan lalu merempuh kumpulan pekerja tersebut.

Kejadian itu juga sudah dilaporkan kepada Kedutaan Malaysia di Songkhla.

Sumber: Harian Metro

Tags
Google ads
Back to top button