Artikel Pilihan

600 KE 700 JAM – ITULAH MASA YANG DIPERLUKAN UNTUK MENGECAT SEBUAH BUGATTI

Bugatti bukan hanya sebuah kereta tetapi ia juga boleh dianggap sebuah kerja seni yang boleh dipandu dan dihasilkan dengan ketepatan yang paling tinggi. Jadi tidak mustahil kerja untuk mengecat sebuah model Bugatti memerlukan masa antara 600 ke 700 jam. Proses yang dilakukan sebanyak lapan lapisan ini merupakan salah satu faktor kenapa harganya sangat-sangat mahal.

Chiron contohnya memerlukan masa 9 bulan untuk disiapkan dari proses konfigurasi sehinggalah ke serahan. Lebih 1,800 alat ganti perlu dipasang oleh 20 orang pekerja paling mahir termasuklah proses mengecat sahaja yang memakan masa lebih sebulan. Ya lebih sebualn tuan-tuan. Lupakanlah kalau niat nak tempah sekarang untuk melaram masa raya nanti. Masa mengecatnya hampir sama lama dengan masa pengeluar lain menyiapkan 4 ke lima unit kereta dari awal hingga akhir.

Proses mengecat bermula dengan pemeriksaan secara mendalam bagi memastikan tidak ada sebarang celaan yang akan menjejaskan hasil akhir nanti. Bugatti mempunyai ahli metrologi (cabang sains sukatan atau ukuran) mereka sendiri yang bernama Gregoire Haller-Meyer. Kerja mamat ini ialah untuk memastikan setiap panel badan berada dalam keadaan yang paling sempurna.

Sebaik panel-panel badan ini disahkan dalam keadaan paling sempurna, ia diberikan lapisan primer yang pertama dan kemudian gilap sehingga rata sebelum diberikan semburan lapisan primer kedua. Lapisan ketiga ialah semburan lutsinar yang kemudiannya digilap. Proses ini diulang berkali-kali. Sembur gilap, sembur gilap sebanyak mana yang perlu dan selepas lebih 100 jam masa bekerja baharulah panel-panel itu dihantar untuk dicat.

Proses mengecat Bugatti bukan hanya memerlukan kemahiran yang tinggi tetapi juga komitmen dan cita-cita untuk memenuhi piawaian jenama ini yang cukup tinggi dan memakan masa yang panjang untuk menyiapkan sebuah kereta.

Selepas dicat setiap panel diteliti bagi memastikan setiap warna mempunyai persamaan seratus peratus. Kalau berbeza walaupun sedikit ia akan dihantar untuk dicat kembali. Proses ini bukan senang kerana Bugatti mempunyai pilihan warna dan padanan yang berbeza-beza. Bukan macam nak beli kereta tempatan, tengok katalog, tunjuk warna yang berkenan pakai hari kemudian bayar yuran tempahan.

Selepas dicat jangan ingat proses sudah selesai. Model Bugatti kemudian akan digilap selama empat hari sehingga berkilauan. Empat hari tuan polish tuan-tuan. Kami polish Axia sebulan sekali pun dan berpeluh ketiak.

Siap digilap, ia kemudian akan diperiksa lagi secara mendalam dan kali ini dimasukkan ke dalam terowong cahaya Bugatti untuk diperiksa menggunakan sentuhan dan penglihatan sehingga menepati piawaian syarikat. Kemudian baharulah proses mengecat berjaya disiapkan.

Jadi kalau korang nak cat balik kereta-kereta lama tu jangan nak paksa-paksa sangat tukang cat sebab kerja mengecat kereta ni bukan macam nak cat tiang kandang lembu. Kecuali kalau korang nak kereta korang dicat dengan kaki. Nak ke?

Google ads
Back to top button