Buletin

TRAK PIKAP PEUGEOT LANDTREK TIBA DI MALAYSIA – 1.9L TURBO DIESEL, 150HP, BERMULA RM120K

Bermaz Auto Alliance melancarkan trak pikap Peugeot Landtrek untuk pasaran Malaysia pada hari ini setelah membuat kemunculan kali pertama pada Januari lalu.

Berasaskan platform Changan Kaicheng F70, Peugeot Landtrek mempunyai dimensi 5,330mm panjang, 1,920mm lebar, 1,819 tinggi, jarak roda pada 3,180mm.

Rupa luaran trak pikap ini menampilkan rekaan ciri khas Peugeot menerusi gril menegak yang dipadankan bersama logo singa di bahagian hadapan dan belakang serta lampu nyalaan siang LED berbentuk tajam.

Bahagian sisi diserlahkan penggunaan rim dua tona bersaiz 18 inci yang dibalut tayar 265/50. Tidak ketinggalan pemijak sisi, roof rails dan sport bar. 

Menjengah ke dalam kabin, di permukaan stereng terdapat butang kawalan pelbagai fungsi dan dikemaskan balutan fabrik jenis kulit.

Tempat duduk juga tersedia fungsi boleh laras secara elektrik enam arah manakala tempat duduk belakang boleh dilipat 40:60. Dari segi kemasan, tempat duduk mendapat sentuhan leatherette untuk memberi nuansa minimalis dan futuristik.

Selain itu, tempat duduk belakang turut dilengkapi dua Isofix dan menawarkan keselesaan lain seperti perehat tangan, jarak bahu 1,550mm serta jarak lutut 50mm.

Perincian lain termasuklah skrin infotainmen terapung 10 inci dengan ketersambungan Apple Carplay / Android Auto, suis toggle gaya piano di bawah corong pendingin hawa dan sistem kamera keliling 360 darjah.

Untuk ciri keselamatan, 4×4 baharu ini dipasang 6 beg udara, program kestabilan elektronik (ESP), kawalan menurun cerun (HADC) dan amaran keluar lorong.

Beralih kepada butiran kuasa, Peugeot Landtrek dikuasakan oleh enjin 1.9 liter turbodiesel, di mana ia mampu menjana kuasa 150hp dan tork pada 350Nm. Ia kemudian dipacu transmisi automatik 6 kelajuan bersama sistem pacuan empat roda.

Pelanggan mempunyai enam pilihan warna iaitu Ceramic White, Silver Grey, Magnetic Blue, Red Rubi, Rockstone Grey atau warna eksklusif, Olea Green.

Peugeot Landtrek boleh dimiliki pada harga bermula RM120,072 (tidak termasuk insurans) dan ditawarkan bersama waranti pengilang 5 tahun atau 100,000km, mana – mana tiba dahulu.

GALERI:

Google ads
Back to top button