Motosikal

CFMOTO 450SR LANCAR DI TURKIYE. MASUK MALAYSIA MINGGU INI, 59.6HP, BREK BREMBO, BERMULA RM29K SAHAJA!

CFMOTO memperkenalkan jentera 450cc terbaharunya, 450SR di peringkat  global di Intercity Istanbul Park di Turkiye semalam.

Untuk pasaran Malaysia, CFMOTO 450SR akan dijual pada harga bermula RM28,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). Model itu hadir dengan dua pilihan warna iaitu hitam dan putih yang akan mula diedar ke semua pengedar sah CFMOTO di seluruh Malaysia pada minggu ini.

Pelancaran 450SR, membolehkan CFMOTO menjadikan sebuah model konsep kepada realiti. Dikuasakan oleh enjin dua silinder selari 450cc dengan kuasa maksimum 49.6hp pada 9,500rpm dan tork 39Nm pada 7,600rpm, 450SR mentakrifkan semula model CFMOTO.

Shaft imbangan berganda dipasang untuk mengurangkan getaran. Enjin pula diposisikan pada  pusat graviti 450SR untuk meningkatkan kestabilan tunggangan tanpa menganggu prestasi pengendalian.

Binaan silinder berkembar selari dan jarak roda yang lebih pendek membantu pengendalian yang lebih mudah. 

Wajah hadapan menyerlahkan gaya siri Sport Racing (SR). Alur yang dioptimumkan pada kedua-dua sisi bahagian hadapan membolehkan aliran udara lebih berkesan untuk mengurangkan kehilangan kuasa. 

Reka bentuk fairing yang licin meningkatkan integrasi penampilannya. Reka bentuk juga ada efek pesongan yang boleh mencegah angin daripada membentuk arus pusar di bahagian-bahagian tertentu dan meningkatkan kestabilannya.

Jentera sports itu menggunakan rim aloi aluminium dengan reka bentuk unik dan berketahanan tinggi yang ringan. Dari segi ergonomik, kombinasi kedudukan pedal tinggi dan bar hendal rendah menjadikan postur tunggangan lebih selesa.

Suspensi hadapan dan belakang berorientasikan sukan permotoran membawa kepada kestabilan dan kawalan yang lebih baik. 

Lengan ayun belakang dan suspensi belakang disambungkan oleh struktur berbilang pautan yang biasa digunakan pada motosikal berkuasa tinggi untuk mengekalkan kestabilan kenderaan semasa tunggangan ekstrem. 

Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) turut disertakan untuk mencegah roda daripada terkunci dan hilang cengkaman semasa brek kecemasan. Brek kaliper Brembo memberikan daya membrek terkawal pada setiap masa.

FMOTO 450SR dilengkapi skrin paparan melengkung TFT bersaiz 5 inci yang menyokong paparan navigasi ringkas dan sistem notifikasi.

Ia juga hadir dengan sistem T-box yang mempunyai modul 4G terbina dalaman dan sensor 6D. Ini  membolehkan sambungan telefon, selain menyediakan fungsi seperti naik taraf perisian tanpa wayar Over-The-Air (OTA), unit ukuran inersia (IMU), anti-kecurian, rekod prestasi, paparan informasi masa nyata dan banyak lagi.

Senang cakap, CFMOTO 450SR mampu menawarkan prestasi terbaik dalam kelas 400-500cc.

Setiap pembelian CFMOTO 450SR didatangkan bersama jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km (mana-mana tiba dahulu).

GALERI

Google ads
Back to top button