Artikel Pilihan

7 FAKTOR YANG MEMPENGARUHI HARGA JUALAN SEMULA KENDERAAN

Jarang sekali pakar kewangan menyebut pembelian sesebuah kenderaan adalah sebagai satu alat atau medium bagi menggandakan wang anda. Namun bagi sesetengah model, harga jualan semula kenderaan tersebut di pasaran terpakai sebenarnya lebih mahal berbanding dengan harga asal ketika ia masih lagi baru

Secara umumnya, kenderaan atay kereta hanyalah alat bagi memabantu kita untuk bergerak dari poin A ke Poin B dengan selamat dan juga cepat. Apabila tiba waktunya, kenderaan tersebut mungkin tidak lagi sesuai dengan gaya hidup kita dan kita akan membeli kenderaan baru selepas beberapa tahun

Atas sebab inilah sesetengah pemilik menjadi terlalu sensitif berkenaan dengan harga jualan semula kenderaan mereka di pasaran terpakai. Kalau boleh biarlah harga jualan tersebut mahal dan mereka meraih keuntungan dalam proses jual beli tersebut

Kami cuba kupas beberapa faktor yang mempengaruhi harga jualan semula kenderaan di pasaran terpakai:

1. Jenama -sesetengah jenama boleh diklasifikasikan sebagai jenama sejuk ataupun panas. Kalau anda membeli jenama sejuk, maka peluang untuk anda menjual balik dengan harga yang tinggi adalah agak sukar berbanding dengan jenama yang panas.

Bagi jenama yang agak panas pula, anda boleh mula menjualnya semula ke pasaran selepas 3 tahun menggunakan kereta tersebut walaupun hutang anda masih lagi berbaki 6 tahun. Ya selepas dijual, anda mungkin berpeluang mendapat baki positif yang boleh digunakan untuk membayar muka kenderaan baru

2. Persepsi pengguna – jenama kenderaan ini juga dipengaruhi oleh persepsi atau tanggapan awal pengguna. Sebagai contoh sesetengah jenama satu ketika dulu sangat popular dengan tahan lasak, digunakan oleh generasi datuk dan ayah kita lebih mudah mengekalkan harga jualan balik

Ini kerana apabila pengguna mencari kereta terpakai, mereka mahukan sebuah kereta tahan lasak, susah rosak tak banyak kerenah dan mesra poket. Jadi apabila persepsi jenama tahan lasak ini dah ditanam dalam generasi, maka jenama tersebut memiliki susut nilai paling sikit.

3. Sokongan pusat servis – jenama yang stabil dari segi harga jualan balik juga akan disokong oleh rangkaian pusat servis yang meluas. Pembeli pasti mahukan sokongan teknikal pusat servis sekiranya bengkel biasa tidak mampu menyelesaikan isu-isu teknikal berkaitan dengan enjin ataupun transmisi

Liputan pusat servis ini akan membekalkan alat ganti tulen, servis dan juga melakukan pembaikan (Body & Paint) penuh sekiranya kenderaan anda terlibat dalam kemalangan. Jadi jika pembaikan dilakukan oleh pusat servis bertauliah, anda boleh simpan resit untuk dijadikan bukti bahawa kenderaan anda dijaga dengan baik

4. Teknologi – kadang kala sewaktu teknologi baru diperkenalkan oleh pengeluar, sudah pasti harga kereta yang dijual bagi menampung kos teknologi tersebut akan menjadi tinggi. Malangnya belum tentu teknologi baru tersebut akan disukai oleh pembeli kereta terpakai

Sesetengah pembeli kereta terpakai lebih suka pada kenderaan yang datang dengan teknologi mudah, murah untuk dibaiki dan tidak memerlukan belanja yang besar. Keadaan ini menerangkan kenapa sesetengah kenderaan yang datang dengan teknologi baru sukar untuk mengekalkan harga di pasaran terpakai

5. Model sukar dicari atau edisi terhad – sesetengah model ini jika disimpan harganya akan meningkat naik seperti anda menyimpan emas atau komoditi berharga. Cuba anda intai model seperti AE86, Miata, NSX, S2000, Nissan GT-R yang dijual dengan harga tak masuk akal dan lebih mahal berbanding dengan harga jualan ketika baru

Model yang kami sebutkan di atas kadangkala dijual melebihi harga model yang terkini, dan ia tidak boleh dibeli dengan menggunakan pinjaman bank. Kalau anda nak beli, pastikan anda ada beratus ribu ringgit dalam akaun simpanan

6. Model jimat minyak – dalam ekonomi berkembang atau ekonomi meleset, kenderaan yang menggunakan bahan api secara efisyen adalah sangat dicari samaada baru ataupun terpakai. Ini kerana kenderaan yang efisyen ini pasti akan mengurangkan beban kewangan kepada pemilik terutama bagi pasaran terpakai

7. Alat ganti mudah dicari – dalam aspek ini, alat ganti bukan sahaja boleh didapati dari pusat servis bertauliah sahaja, tapi ia boleh dicari di kedai alat ganti, di kedai potong dan juga alat ganti yang telah dibaik pulih semula.

Keadaan ini membolehkan kereta tersebut masih boleh terus dipandu dalam tempoh yang lama walaupun model ini telah ditamatkan pengeluarannya. Sesetengah pengeluar akan terus mengeluarkan alat ganti dalam tempoh 10 tahun selepas pengeluaran kenderaan ditamatkan bagi menjamin kenderaan keluaran mereka masih boleh terus dipandu

Jadi jika anda memiliki sebuah kenderaan tahan lasak, sukar untuk rosak, jimat bahan api dan alat ganti senang untuk dicari serta senang untuk diservis maka besar kemungkinan kenderaan anda memiliki nilai jualan balik yang tinggi

Google ads
"
"
Back to top button