Artikel Pilihan

7 KERETA HEBAT YANG ASALNYA DIREKA SEBAGAI KERETA BIASA SAHAJA

Bukan semua kereta baru yang dihasilkan akan menemui kejayaan dan dijual laris macam goreng pisang cheese. Rekaan yang menarik tidak semestinya berjaya menarik perhatian pembeli tapi kadang-kala ia memang berlaku. Untuk mengelakkan hasil yang negatif, pengeluar kereta biasanya memilih idea yang terbaik dari mereka yang benar-benar arif. Tapi itulah kadang-kadang kereta yang asalnya biasa-biasa pun boleh menjelma menjadi model baru yang lebih hebat. Semua bergantung kepada takdir.

Kereta-kereta di bawah telah menjadi ikon dalam segman masing-masing walaupun sebelumnya ia tidaklah kelihatan seperti diharapkan.

Lamborghini Diablo

Salah satu supercar kegemaran ramai satu ketika dahulu. Ia telah menerima cadangan rekaan luaran baru oleh Marcello Gandini satu ketika dahulu. Sayangnya pada ketika itu keadaan ekonomi Lamborghini yang agak tenat memaksa ia dijual kepada Chrysler dan Chrysler tidak meluluskan rekaan tersebut. Padahal Gandini ialah pereka pintar yang menghasilkan rekaan Miura dan Countach. Mungkin rekaan beliau kelihatan agak ekstrim pada pandangan orang lain.

Berbekalkan rekaan tersebut, Gandini bersama sekumpulan bekas pekerja Lamborghini menubuhkan sebuah syarikat yang dinamakan Cizeta. Mereka cuma menghasilkan sebuah kereta yang dinamakan Cizeta-Moroder V16T berdasarkan rekaan Diablo Gandini yang tidak diluluskan Chrysler.

Ford Mustang

Menariknya Ford Mustang asal sebenarnya tidak menggunakan lambang kuda seperti sekarang. Ia sebenarnya mempunyai lambang seekor kucing. Miauu. Tak percaya ke? Tengok gambar betul-betul, ia bukannya seekor kuda tetapi sejenis kucing besar (tapi bukannya anak kucing okey).

Walaupun Mustang dilancarkan pada tahun 1964, prototaip awal telahpun dimulakan pembangunan seawal tahun 1961. Lambang kucing asal telah ditukar kepada seekor kuda kerana perekanya merupakan peminat kapal terbang perang paling popular dalam Perang Dunia Kedua, P-51 Mustang. Tambahan pula seorang lagi bos kanan Ford ketika itu mempunyai hobi menternak kuda (nasib baik bukan itik atau hamster kau). Lambang kucing ataupun cougar tidak dicampak begitu saja tetapi ia kemudiannya digunakan pada Ford Mercury Cougar pada tahun 1967.

Porsche Panamera

Panamera merupakan sebuah model yang menimbulkan kontroversi bagi peminat Porsche sewaktu ia dilancarkan pada tahun 2010. Peminat susah mati ini cukup kecewa bila Porsche baru bukannya model seperti kebiasaan Porsche. Ini kali kedua Porsche melakukannya selepas Cayenne yang dilancarkan pada tahun 2003. Tapi sebenarnya Porsche sudah lama merancang untuk mengeluarkan model empat pintu.

Sejak dari tahun 1988 mereka sudah mengeluarkan model konsep yang agak sama dengan Panamera sekarang dan dinamakan 989. Walaupun projek tersebut dibatalkan pada tahun 1992, Porsche tidak pernah berputus asa sehinggalah lahir model yang hari ini dikenali dengan nama Panamera dan bukannya 989.

Mini Cooper

Sebelum BMW membeli jenama Mini dari Rover Group pada tahun 2000. Sepasang model konsep untuk menggantikan Mini telah dihasilkan  dan dinamakan Spiritual dan Spiritual Too (alim sungguh namanya kan?. Ia didedahkan buat pertama kali di Geneva Motor Show 1997.

Berbeza dengan Mini generasi pertama BMW tahun 2000, model konsep ini mempunyai gaya lebih retro selain kompak seperti Mini asal dan mempunyai enjin di belakang. BMW tidak berminat dengan model ini kerana mahukan rekaan yang lebih premium (lebih mahal dengan kata lain).

BACA: BERAPAKAH KEUNTUNGAN PORSCHE DALAM SEHARI?

Nissan GT-R

Nissan GT-R hari ini adalah hasil pengalaman mereka (Nissan/Datsun) dalam menghasilkan model berprestasi tinggi selama bertahun-tahun. Sebelum dipertunjukkan buat pertama kali di Tokyo Motor Show 2007, Nissan membangunkan beberapa buah model konsep sebelum disenarai pendek kepada tiga model sahaja.

Carlos Ghosn yang sehingga kini kekal sebagai CEO gabungan Renault-Nissan membuat pilihan akhir berdasakan model berskala sebenar. Semua model kelihatan sama tapi dengan beberapa perbezaan. Tengok sendiri tiga model konsep tersebut.

Bugatti EB110

Marcello Gandini memang seorang pereka kereta yang sibuk pada dekad 80-an (macam Abang Japar sekarang la). Khidmatnya bukan sahaja digunakan oleh Lamborghini tetapi Bugatti juga meminta beliau membuat rekaan model terbaru mereka ketika itu – EB110.

Sama seperti Diablo, ia juga mempunyai rekaan yang cukup radikal termasuklah pada pandangan mata bos Bugatti ketika itu.

Hasilnya ialah rekaan beliau ditolak dan Bugatti menggunakan khidmat pereka lain untuk ‘melembutkan’ rekaan tersebut. Sekali lagi sejarah membuktikan idea hebat memang tidak ada peluang di tangan mereka yang mempunyai wang dan kuasa.

Bugatti Veyron

Okey kini kita sampai kepada Bugatti Veyron, hypercar paling popular dari VW Group. Projek untuk menghasilkan Veyron muncul sebaik sahaja VW Group berjaya membeli jenama dan logo Bugatti dan Veyron juga merupakan pengganti EB110. Tapi adakah Veyron asal sehebat rupanya sekarang? Tidak sama sekali kerana dari pandangan kami konsep Veyron asal hasil idea Walter de Silva dari VW Group memang tak boleh jual. Nampak macam Beetle tetapi selepas makan steroid.

Konsep tersebut ditinggalkan dan Bugatti menggunakan khidmat Fabrizio Giugiaro dari Italdesign. Hasilnya lahirlah model konsep yang dinamakan Chiron. Tapi nama tersebut disimpan sehingga 2016 dan Bugatti memgabungkan elemen-elemen dari keduanya untuk menghasilkan Veyron yang kita kenali sekarang.

Google ads
Back to top button