Artikel Pilihan

CHERY EASTAR – MANA MENGHILANG?

Satu perkara yang harus diakui, pasaran MPV di tempat kita boleh tahan sengit juga saingannya. Para pengeluar juga dilihat berlawan untuk menawarkan produk dalam segmen tujuh tempat duduk berharga sederhana murah (bawah RM100,000) kepada pembeli. Dan Chery Eastar beberapa tahun sudah pernah juga bermaharajalela di atas jalanraya kita.

BACA : TOYOTA WISH & HONDA STREAM – LAGENDA MPV YANG TELAH BERAKHIR

BACA : PENING NAK PILIH MPV?

Asal usul kelahiran Chery Eastar ini sudah semestinya ramai yang mengetahui berasal daripada Tanah Besar China. Kemudian, ianya telah diperkenalkan semula oleh Chery Alado, pengedar sah di Malaysia sebagai pemasangan tempatan dengan kilang di Johor sebagai pusat operasinya. Keputusan Chery Alado untuk membawanya masuk dan menjadikannya sebagai model naturalisasi boleh dianggap sebagai lubuk buat mereka,

Jelas sekali Chery Eastar ini mempunyai resepi yang lazat untuk memikat hati pembeli di kala itu. Saingan rapat di kala itu hanyalah Nissan Grand Livina. Tapi menang lagi Eastar dari segi saiz. Dengan harga pengenalan di bawah RM80,000 untuk varian standard, tidak syak lagi ianya mampu menjadi pilihan buat pembeli yang inginkan sebuah mode pengangkutan yang mampu mengisi tujuh penumpang dengan cukup selesa tanpa perlu membungkus pakaian di dalam plastik sampah.

Dengan saiz yang sederhana besar, iras rupanya mengingatkan kita semua kepada model Mitsubishi Grandis. Untuk menjadikan ianya lebih mirip kepada Mitsubishi, Chery Eastar ini turut menggunakan enjin 4G64 yang bersesaran 2.4 liter. Jenis hati kental setiap kali tiba musim nak perbaharui cukai jalan. Itu belum ambil kira lagi kekerapan nak singgah ke petrol pam yang turut menjadi sedikit kerunsingan untuk mengisi bahan bakar. Tapi Chery Eastar benar – benar berubah menjadi Mitsubishi apabila ada segelintir pemilik yang menukar lambang Chery dengan logo berbentuk Diamond itu. Tak ada salah pun sebenarnya sebab memang menggunakan enjin Mitsubishi kot. Dan tahukah Eastar ini hanya 3cm sahaja ‘kontot’ daripada Grandis itu?

Menyedari kekesalan yang dialami oleh pembeli awal, Chery Alado memperkenalkan pula versi enjin ACTECO 2.0 liter sebagai nadi utama. Berbanding enjin lama yang hanya mempunyai kuasa 127 hp, enjin milik Chery ini memiliki kuasa 137 hp. Apabila menyedari Malaysia sudah pun mempunyai MPV buatan dan jenama sendiri, Chery memperkenalkan pula versi XT agar terus mampu memberikan talian hayat bagi bersaing dalam segmen MPV yang kian sengit.

Dan ketika inilah pembeli mula beralih ke arah Proton Exora. Walau pun jualan varian XT boleh tahan laku juga, namun lama kelamaan ianya semakin perlahan. Apabila model gantian Maxime diperkenalkan, Chery telah memberikan naik taraf dengan menjadikannya sebagai model yang lebih bersifat premium. Harganya juga bermula pada aras RM86,800.00. Jual mahal lepas tu tak laku.

Dan legasi Eastar ini terus tenggelam. Rekod penjualannya barangkali boleh dihitung sampai jari kaki sahaja.Walau pun Chery Maxime ini boleh dikira bagus, namun bagus sahaja masih tidak memadai. Chery telah kehilangan petua untuk menyedapkan resepi penjualannya ke pasaran MPV di Malaysia.

 

Google ads
Back to top button