
7 SEBAB KENAPA JUALAN KENDERAAN DALAM NEGARA TIBA-TIBA NAIK TAHUN LEPAS
Jualan kenderaan pada tahun 2024 dalam negara sebenarnya agak mengejutkan banyak pihak. Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu serta langkah penjimatan yang diambil oleh semua pihak, kita menjangkakan yang jualan kenderaan akan merosot
Namun selepas semua data dikumpulkan, jumlah jualan keseleruhan kenderaan pada tahun 2024 mencapai satu angka yang sangat mengagumkan dengan rekod 816,747 unit. Daripada jumlah ini 747,180 unit adalah kenderaan persendirian dan selebihnya adalah kenderaan perdagangan.
Angka ini sebenarnya adalah peningkatan sebanyak 2.1% daripada rekod tahun 2023 iaitu 799,821 unit kenderaan terjual. Penulis cuba mencari faktor-faktor yang mendorong kenaikan jumlah jualan ini dan penulis bersetuju dengan hampir semua faktor yang dikemukakan
1. Tempahan bertimbun dari tahun 2023 – tahun 2022 menyaksikan dunia baru sahaja pulih dari serangan COVID-19 dan tidak semua industri boleh memulakan semula aktiviti mereka dengan cepat. Bagi sektor automotif, isu sebenar ialah cip untuk automotif gagal dihantar oleh pembekal
Masalah ini menyebabka lambakan tempahan dari tahun 2022 dibawa ke tahun 2023 dan juga tahun 2024. Sesetengah model baru dilancarkan pada akhir tahun 2022 datang dengan tempoh menunggu selama setahun. Anda kena ingat, semakin moden kereta semakin banyak cip yang digunakan
2. Insentif kereta elektrik – bagi menarik lebih ramai pembeli kereta elektrik, kerajaan melanjutkan insentif pembelian kereta elektrik sehingga akhir tahun 2025. Keadaan ini menarik minat pembeli atas pagar yang tertarik dengan teknologi baru dan ingin mencuba kereta elektrik
3. Politik dalam negara stabil – dari tahun 2018 sehingga tahun 2024, Malaysia telah bertukar Perdana Menteri sebanyak 345,888 kali dan kerajaan bertukar sebanyak 3 kali. Semua proses pertukaran kerajaan berlaku dengan aman dan stabil yang menarik perhatian pelabur untuk terus kekal beroperasi dalam negara
4. Peluang pekerjaan tinggi – Apabila politik stabil maka ekonomi adalah stabil. Secara anggaran, purata kadar pengangguran di dalam negara ialah 3.85% pada tahun 2023 dan berkurang kepada 3.2% pada tahun 2024. Semakin ramai rakyat bekerja, semakin tinggi daya pembelian rakyat termasuklah keupyaan untuk membeli kenderaan bajet segmen A untuk bekerja
5. Banyak Model baru – kemasukan model-model baru dari negara China secara agresif telah menyebabkan perang harga secara terbuka antara model negara China, Jepun dan Eropah. Kebanyakan model baru datang dengan rekaan yang menarik dan harga yang murah menarik lebih ramai pembeli
6. Pemasaran agresif – jenama Jepun dan jenama tempatan pula terpaksa menawarkan promosi luar biasa sepanjang tahun bagi melawan jualan kenderaan jenama China. Jika anda perhatikan, hampir setiap bulan jenama jenama ini menawarkan promosi
Contohnya promosi tahun baru cina, promosi raya aidilfitri, promosi hari guru/kakitangan awam, promosi merdeka, promosi deepavali, promosi krismas dan promosi hujung tahun. 15 tahun lepas adalah amat sukar untuk pembeli menerima promosi dan rebat yang banyak sehingga 10% harga jualan kenderaan
7. Kadar Faedah yang rendah, stabil dan kompetitif -dalam usaha menggalakkan ekonomi dan industri serta pembelian tempatan, kadar faedah semalaman (OPR) kekal pada kadar 3% walaupun naik selepas diturunkan ketika bencana Covid melanda
Keadaan ini memberikan faedah pinjaman yang rendah bagi pembeli kenderaan dan juga hartanah. Bagi pembeli kenderaan kali pertama, ini membolehkan mereka membayar pinjaman pada kadar yang lebih selesa dan tidak membebankan
Namun dalam aspek negatif, pembelian kenderaan ini juga boleh menyebabkan jalan raya menjadi sesak hampir setiap hari. Bayangkan jika 20 tahun lepas jalan raya kurang sesak sewaktu musim perayaan, namun pada hari ini jalanraya menjadi luar biasa sesak setiap kali musim perayaan
Pertambahan bilangan kenderaan sepatutnya adalah sering dengan pertambahan jalanraya dan jaringan jalan raya bagi memendekkan tempoh perjalanan. Sudah tiba masanya juga sektor pengangkutan awam seperti keretapi laju dan penerbangan awam menjadi semakin murah dan mudah untuk diakses oleh orang ramai.